Wednesday, October 7, 2009

Timbang Politik Berasaskan Keadilan

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Utusan Malaysia, 18 Nov 2008

Kenapakah setelah lebih daripada 50 tahun merdeka kita masih gagal untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang meletakkan kepentingan nasional di hadapan? Inilah perkara yang mesti dikaji dan diuji oleh pemimpin-pemimpin hari ini agar jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan atau sengaja melupakan kepentingan masa hadapan atau kepentingan negara secara keseluruhan. Kenapakah kita tidak belajar daripada negara jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang berjaya menanamkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi kalangan rakyat mereka berbilang kaum?


Tidakkah kita belajar daripada pengalaman apa yang berlaku di Singapura? Setelah sebuah negeri Melayu terlepas kepada tangan bukan Melayu, apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu di sana? Terbelakang nasib orang Melayu? Adakah orang Melayu mendapat tempat dalam percaturan kuasa politik?


Menurut Lily Zubaidah (2001), yang membuat kajian mengenai nasib Melayu di Singapura, mengatakan bahawa orang Melayu semakin tidak mendapat tempat di bawah kerajaan PAP yang diperturunkan oleh Lee Kuan Yew. Orang Melayu tidak lagi diberikan tempat seperti dahulu. Kalau ada pun tempat diberikan adalah kalangan Melayu yang telah cair sifat keMelayuan dan keIslamannya.


Kepimpinan Cina di Singapura tidak lagi mempercayai orang Melayu di sana. Dengan sebab itu, mereka terus didiskriminasikan, walaupun dinafikan sendiri oleh Melayu Singapura yang mahu menjaga periuk nasi masing-masing. Namun, perilaku mereka menunjukkan segala-galanya. Orang Melayu langsung tidak dapat tempat untuk memegang jawatan tinggi dan kritikal dalam perkhidmatan seperti ketua tentera, polis, pilot, imigresen dan sebagainya.


Saya begitu teruja apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong diajukan oleh wartawan persoalan akan pandangan beliau mengenai perkembangan politik di Amerika Syarikat berkaitan kejayaan presiden Obama. Lebih lunak sedikit daripada bapanya, Lee mengeluarkan kenyataan bahawa satu hari nanti orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri di Singapura. Persoalannya, bila? Sama ada ia akan menjadi realiti atau tidak hanya Tuhan yang tahu. Keadaan hari ini yang berlaku sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita bahawa proses ke arah itu masih terlalu jauh disebabkan oleh sikap ultra kiasu yang amat menebal.


Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sikap akomodasi yang tinggi. Selain daripada isu penerimaan orang Cina sebagai warganegara (Jus Soli), orang Melayu juga sanggup melepaskan sebuah negara Melayu iaitu Singapura kepada orang Cina dalam keadaan terpaksa. Namun, setelah orang Cina mendapat negara tersebut, mereka tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Malah menaruh syak wasangka atau persepsi yang kurang menyenangkan. Walaupun negara ini mendakwa mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa, nyata sekali diskriminasi amat jelas dan nyata terhadap orang Melayu.


Orang Cina Singapura tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Pendek kata, proses peminggiran orang Melayu berlaku dalam hampir semua aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, budaya dan sejarah (Lily Zubaidah, 2001). Saya agak hairan bagaimana Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu begitu berani menyindir Malaysia dengan mengatakan orang Cina dipinggirkan dalam arus perdana kepemimpinan negara.


Justeru, bagi saya, membandingkan Barack Hussein Obama, pemimpin kulit hitam yang berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat adalah contoh yang amat dangkal dan amat ultra kiasu. Inilah politik kotor yang sentiasa dimain-mainkan untuk menggugut kepemimpinan hari ini. Sejarah kita berbeza sejarah Amerika Syarikat. Kejayaan Obama masih terlalu baru. Kita jangan terlalu yakin, terutamanya umat Islam yang meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap Obama menggantikan Bush yang dianggap sebagai dajjal.


Jika Obama beragama Islam, saya tidak yakin beliau pergi lebih jauh sehingga setakat ini. Faktor peribadi beliau turut membantu. Beliau bukanlah dalam kategori kulit hitam tulen seperti kulit hitam di Afrika. Ibunya adalah rakyat Amerika Syarikat berkulit putih. Cuma bapanya sahaja berkulit hitam daripada Kenya. Pendek kata, Obama adalah campuran darah kulit putih dan kulit hitam. Salah satu sokongan yang diperolehi juga disebabkan beliau secara terang mengaku berpegang kepada agama kristian. Tidak ketinggalan, beliau mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin dan korporat-korporat Yahudi antarabangsa.


Saya bimbang umat Islam akan kecewa suatu hari ini jika terlalu bergantung harapan kepada Obama. Tunggu dan lihat. Apa pun saya boleh katakan, jika Obama beragama Islam, berkulit hitam tulen, dan tidak bersikap lunak terhadap Yahudi, jangan harap dia boleh menjadi presiden Amerika Syarikat. Inilah sejarah politik yang mesti difahami.


Persoalan saya, kenapa DAP, Gerakan dan MCA membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat? Kenapa tidak bandingkan Malaysia dengan negeri China atau India yang lebih bersifat ketimuran? Pada saya, DAP, Gerakan dan MCA sekadar mengambil kesempatan dalam apa jua ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang selama ini tidak didapati.


Saya ajukan persoalan ini kepada mereka untuk dijawab, bolehkah Cina Muslim atau India Muslim menjadi Perdana Menteri di negara China dan India, sedangkan mereka daripada satu bangsa yang sama. Saya memberikan jawapan terlebih dahulu, jauh panggang dari api. Justeru, membanding Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah sikap yang amat kiasu atau ultra Cina yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang telah tinggal di tanahair tercinta ini sekian lama.


Saya masih beranggapan baik bahawa orang Melayu boleh atau akan menerima orang Cina sebagai perdana menteri atau timbalan, jika orang Cina itu beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu termasuk, fasih berbahasa Melayu dan lain-lain lagi.


Kenapa hari ini orang Melayu masih agak berat hati untuk menerima orang bukan Melayu untuk diletakkan pada hiraki yang tertinggi dalam kepemimpinan negara dan organisasi? Berbanding dengan kenapa rakyat Thai boleh menerima Thaksin sebagai ketua negara mereka suatu ketika dahulu walaupun Thaksin mempunyai darah keturunan Cina yang amat ketara? Jawapannya, kerana Thaksin beragama buddha, sama seperti orang Siam yang lain. Perawatakan Thaksin tidak lagi kelihatan sebagai orang Cina, tetapi lebih Siam daripada orang Siam. Thaksin mempunyai semangat patriotisme Thai yang amat tinggi. Sebab itu Thaksin berjaya. Namun keadaan di Malaysia begitu jauh berbeza, majoriti bukan Melayu langsung tidak mahu dikaitkan atau diasimilasikan langsung dengan budaya dan cara hidup orang Melayu. Dengan sebab kebudayaan kebangsaan gagal mencapi matlamatnya.


Persoalan saya kepada MCA, Gerakan dan DAP, berapa ramai orang Cina hari ini yang boleh menguasai bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu dengan baik? Berapa ramai wakil-wakil rakyat Cina sanggup memakai songkok atau baju Melayu ketika ada majlis rasmi seperti persidangan parlimen? Inikah sikap perdana menteri yang kita mahukan? Jika inilah sikap yang ditonjolkan, jangan harapkan mereka mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.


Hari ini seolah-olah amanat Tunku dan Cheng Lock sudah tidak relevan lagi. Orang Cina tidak hanya menuntut kek ekonomi dan kek kuasa yang lebih besar. Majoriti mereka berpendapat bahawa DEB sudah tidak relevan lagi. Lupakah kita kepada bumiputera Sabah dan Sarawak? Tidakkah mereka lebih berhak untuk menuntut, sepertimana tuntutan mereka agar jawatan Naib Presiden UMNO hendaklah diperuntukkan kepada bumiputera UMNO Sabah?


Saya cukup bersetuju dengan idea ini, agar politik kita tidak mengesampingkan Sabah dan Sarawak yang telah dijemput menyertai Malaysia sekian lama. Kita sedia maklumkan bahawa keadaan di sana masih kurang membangun jika dibanding dengan Semenanjung. Justeru, jika tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional atau jawatan dalam GLC serta perkhidmatan awam, diajukan kepada kerajaan, yang lebih berhak mendapatkannya tetapi adalah bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya yang lain.
Inilah hakikat politik berunsurkan keadilan yang perlu dikaji dan dinilai dengan serius oleh bukan Melayu. Keadilan bukan bermakna sama rata sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Apakah yang dimaksud konsep adil dalam konteks bumiputera Sabah dan Sarawak. Pertama, mereka bukan pendatang. Kedua, mereka dijemput menyertai Tanah Melayu seterusnya membentuk Malaysia. Ketiga, keadaan di sana masih mundur berbanding Semenanjung. Keempat, kemiskinan tegar di sana masih begitu banyak berbanding dengan Semenanjung dan sebagainya.


Sebenarnya, banyak lagi faktor yang boleh diberikan. Justeru, saya percaya, mesti ada rasionalnya kenapa kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masih mahu DEB terus disambung semula dalam versi baru. Mungkin sudah ada kesedaran bahawa, ianya perlu dilaksanakan secara lebih telus agar mereka yang benar-benar layak sahaja yang dibantu, bukannya memperkayakan segelintir kroni dan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini. Matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.


Kita perlu mengambil pengajaran kata-kata seorang pengkaji barat seperti Leon Comber (2007) yang menegaskan, jika semangat DEB diamalkan sejak dulu, tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Tetapi adalah jelas bahawa semua ini banyak bergantung kepada cara bagaimana dasar itu ditafsirkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia. Era selepas DEB dilaksanakan menandakan titik permulaan dalam lipatan sejarah perhubungan Melayu-Cina.


Sementara bagi orang Cina pula, sebaik sahaja DEB diwujudkan, isu ini terus menjadi fokus utama dan perbahasan hangat tanpa kesudahan. Kebanyakan tulisan penyelidik dan cendekiawan Cina (Kua Kia Soong, 1990, Thock Ker Pong, 2005, Ye Lin-Sheng, 2005 dan lain-lain) banyak mengkritik DEB, apatah lagi apabila tempohnya telah tamat. Jarang yang mahu melihat kebaikan yang diperolehi daripada dasar ini, walaupun tidak dinafikan kelemahannya akibat tidak diuruskan dengan jujur ikhlas.


Menurut Faaland (2005: 165-166), daya pendorong umum sikap orang Cina terhadap DEB, seperti dibayangkan oleh parti-parti politik mereka iaitu, DAP, MCA dan Gerakan, adalah amat jelas sekali. Meskipun ada kelainan dari segi perinciannya, mereka menyokong objektif pembasmian kemiskinan DEB, kerana ini akan turut memberi manfaat kepada orang Cina yang miskin di kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di Kampung-Kampung Baru, di mana terdapat orang Cina yang berada dalam kemiskinan tegar. Tetapi kebanyakan daripada mereka lebih suka merobohkan objektif penstrukturan semula DEB. Objektif ini dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan tidak adil. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dianggap menjadi penyebab kepada penghakisan kepentingan masyarakat Cina (Thock Ker Pong, 2005: 89).


Perlu ditegaskan, DEB memang tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. DEB adalah daging UMNO. UMNO dan DEB tidak banyak bezanya. Justeru, memansuhkan DEB samalah seperti memansuhkan UMNO kerana DEB ibarat anak UMNO (Faaland et al, 2005: 184).
Sama juga seperti menghapuskan sekolah Cina seolah-olah mahu menghapuskan orang Cina. Jika DEB anak UMNO, maka Sekolah Cina adalah anak orang Cina. Perjuangan mempertahankan Sekolah Cina adalah hidup mati orang Cina (Lee Boon Kok, temubual 7 Januari 2007). Keadaan menjadi semakin rumit apabila sistem pendidikan sebegini terus terbawa-bawa sehingga peringkat institusi pengajian tinggi. Sekolah Cina telah berkembang menjadi Universiti Cina. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) dan banyak IPT Cina yang lain. Mengikut statistik yang saya perolehi, hampir seratus-peratus pelajar di IPT tersebut adalah orang Cina. Ini tidak termasuk Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (AIMST) yang dipunyai oleh MIC dan tuntutan yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik bumiputera Sabah dan Sarawak.


Benar, saya tidak nafikan bahawa dasar universiti-universiti yang disebutkan tadi, mengamalkan dasar terbuka untuk sesiapa sahaja memasukinya. Tetapi oleh kerana 'trade mark' itu adalah sebuah universiti Cina, adalah sukar untuk menarik bangsa lain untuk memohonnya.


Justeru, rakyat Malaysia mesti bertindak berasaskan prioriti bukan emosi. Membanding keadaan Malaysia dengan keadaan Obama di Amerika Syarikat adalah sifat ultra kiasu yang mesti dijauhi. Apa yang penting ialah rakyat Malaysia mesti berfikir berasaskan kepentingan berikut:

(i) meletakkan kepentingan nasional di hadapan berbanding kepentingan etnik,

(ii) mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan bangsa,

(iii) mengutamakan kepentingan masa depan, berbanding kepentingan masa kini, dan

(iv) mengutamakan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara.


Semua kepentingan yang diperjuangkan mesti berpandukan kepada sejarah negara, kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan yang telah dipersetujui secara bersama, bukannya mengikut emosi dan rasis etnik masing-masing.

No comments:

Post a Comment