Wednesday, October 7, 2009

Kerajaan Perpaduan: Buruk Sangatkah UMNO

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 19 Jun 2009


Selepas Muktamar PAS berakhir, DAP dan PKR ibarat cacing kepanasan mendengar cadangan PAS untuk berbaik-baik dengan UMNO dalam membentuk kerajaan perpaduan. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya berita ini, tetapi ia suatu perkara yang menarik dalam meneliti perkembangan politik Melayu Islam di Malaysia. Sebagai sebuah parti yang dikatakan memperjuangkan Islam, saya yakin PAS mempunyai alasan yang tersendiri yang perlu dihormati. Apatah lagi perjuangan PAS memahami tuntutan dan aspirasi agama Islam yang suci. Islam tidak pernah menolak kebaikan, sebaliknya Islam menolak memungkaran dan kejahatan serta yang haram. Atas alasan inilah, PAS tampil untuk menghulur tangan dan membuka ruang perbincangan dengan UMNO yang sekian lama tertutup.


UMNO tidak boleh dianggap sebagai musuh, sebab UMNO adalah parti orang Islam, walaupun mungkin perjuangannya sedikit berbeza. Jika PAS boleh berbincang dengan orang bukan Islam, kenapa tidak dengan orang Islam? Apakah UMNO itu lebih buruk daripada orang bukan Islam. Rasa fikir sudah tentu tidak. Seburuk-buruk UMNO, ahli-ahli mereka tetap saudara seIslam kita. Kita wajib membantu dan menolong saudara kita jika mereka dalam kesusahan, tanpa mengira siapa dan apa latar belakangnya.


Walau bagaimanapun, setelah polimek ini berlanjutan, saya tersentak dan agak terkejut dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz, Mursidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, pada 17 Jun 2009. Tuan Guru Nik Aziz sama sekali menolak perundingan kerajaan perpaduan. Hatta sehingga meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan rundingan agenda kerajaan perpaduan. Berikut saya petik kata-kata beliau:

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang. Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini. Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang (MStaronline, 17 Jun 2009).


Selama ini, semua sedia maklum ada kelembutan dan betapa berhikmahnya Tuan Guru Nik Aziz. Lontaran ideanya sentiasa mendapat perhatian dan begitu dihormati. Tetapi tidak pada kali ini. Isu kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah dan begitu menguji kesabaran ketokguruannya. Kenapa dan mengapa? Mungkin Tuan Guru Nik Aziz sahaja yang tahu. Mungkin Tuan Guru telah banyak menunaikan solat sunat meminta petunjuk daripada Allah SWT. Apapun, pendapat beliau perlu dihormati kerana ia adalah hak peribadi seseorang dalam sebuah negara demokrasi.


Kerajaan perpaduan bukan suatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku di negara lain. Menurut Wan Abdul Rahman (17 Jun 2009), dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922. Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, perdana menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945. Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Misalnya, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara. Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.


Hujah ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan boleh menjadi realiti kerana ia tidak mustahil. Ia adalah suatu perkara yang boleh dilakukan kerana manusia adalah makhluk yang rasional dan ada akal. Persoalannya, daripada mana hendak bermula? Sudah tentu, ia perlu melalui proses yang pertama itu melalui perundingan, kerana inilah tuntutan Islam. Dalam surah Al-Imran ayat 159, Allah berfirman bermaksud: bermesyuaratlah engkau dengan mereka dalam sesuatu urusan, maka apabila engkau telah mempunyai pendirian (yang tetap), bertawakkallah kepada Allah SWT.


Bermesyuarat dalam ayat ini bermaksud berunding. Kalau kita tidak berunding bagaimana sesuatu proses boleh bermula. Saya begitu terkejut apabila Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa orang UMNO sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah. Beliau juga berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang (PAS, PKR dan DAP) untuk jawatan menteri (MStaronline, 17 Jun 2009).


Saya tidak nafikan memang sukar untuk BN/UMNO melantik parti pembangkang menjadi menteri, tetapi itu bukanlah suatu yang mustahil. Berundinglah dahulu, manalah tahu jika BN bersedia memberi dan menerima. Semuanya perlu ada permulaan. Batu yang begitu keraspun apabila air menitik ke atasnya saban kali, batu yang keras itupun boleh menjadi lekok, inikan pulak hati manusia yang begitu lembut. Pokoknya semua perkara mesti dimulai dengan rundingan. Sama ada diterima atau tidak hasil rundingan tersebut, itu bukanlah suatu hal yang besar, kerana ia adalah perkara biasa dalam proses perundingan. Boleh jadi diterima, boleh jadi tidak. Kita serahkan kepada Allah SWT yang menentukan segalanya. Pokoknya, kita telah melakukan amalan mulia dan makruf yang amat dituntut dalam Islam.


Dalam scenario politik Malaysia, semua pihak tahu bahawa PAS dan UMNO adalah parti politik yang amat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, berbanding dengan PKR yang menumpang kekuatan PAS. Jika ahli-ahli PAS tidak mengundi PKR (termasuk DAP), saya tidak fikir PKR boleh mendapat sebegitu banyak undi, apatah lagi untuk memerintah Selangor, Pulau Pinang dan dulunya Perak. Ahli parlimen dan ADUN PKR juga akan kalah di Kelantan jika ahli-ahli PAS tidak mengundi mereka ataupun PAS berhak untuk tidak memberikan apa-apa kerusi kepada PKR. Tetapi dengan sikap keterbukaan PAS, PKR tetap diberikan kerusi di Kelantan dan dilantik menjadi exco walaupun PKR tidak sekuat PAS di sana.


Justeru, saya menjadi semakin keliru apabila isu kerajaan perpaduan yang disarankan oleh PAS mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutu mereka iaitu PKR dan DAP. Sepatutnya, rakan sekutu PAS ini bersangka baik kerana usaha sebegini amat dituntut oleh Islam, apatah lagi PKR turut diterajui oleh orang Melayu Islam. Jika DAP menentang, itu adalah perkara biasa, kerana DAP sejak dahulu lagi adalah parti politik Cina yang ultra kiasu atau ultra Cina dan sama sekali menolak Islam. Parti ini amat takut kalah dan sentiasa mahu menang sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun menjadi pembangkang kepada BN.


Justeru, saya tidak faham kenapa DAP dan PKR harus melarang PAS untuk merunding. Apakah hak DAP dan PKR untuk melarang PAS berdialog dengan UMNO. Apakah UMNO ini terlalu buruk sehingga tidak boleh dibawa berbincang? Apakah DAP dan PKR benar-benar melayan PAS sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat, terutama di Pulau Pinang dan Selangor, dahulunya Perak. Lupakah kita mengenai perlantikan Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak? Bagaimanakah reaksi DAP ketika Sultan Perak memilih Nizar sebagai MB? Penerimaan DAP terhadap Nizar berlaku setelah berlaku perundingan sesama mereka selepas itu. Itupun kerana DAP tidak ada pilihan. Jika ada pilihan, saya tidak fikir DAP akan menerima ADUN PAS sebagai MB Perak?


Jika DAP benar-benar menerima PAS, sudah tentu PAS akan diraikan dalam Pakatan Rakyat. Terdapatkah ADUN PAS yang dilantik sebagai exco di Pulau Pinang? Jika DAP dan PKR benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya melantik ADUN PAS sebagai exco walaupun bilangannya tidak ramai berbanding PKR dan DAP. DAP dan PKR perlu ingat, kemenangan mereka adalah ditentukan oleh pengundi-pengundi PAS. Dengan sebab itu, PAS tidak harus terjerat kepada permainan politik kedua-dua parti politik. Parti-parti politik ini mempunyai kepentingan. Segelintir mereka tidak akan teragak-agak untuk melompat apabila berada dalam keadaan tersepit. Lihat sahaja keadaan di negeri Perak. Semua menjadi kacau bilau berlaku apabila ketiga-tiga ADUN tersebut keluar parti, walaupun saya tidak nafikan mereka mungkin telah diumpankan oleh pihak lain. Saya tidak menyalahkan sepenuhnya mereka yang mengumpan, kerana itu memang kerja orang yang mengumpan. Persoalannya, kenapa kita tergoda dengan umpan tersebut? Itu menunjukkan betapa rapuhnya iman kita, serapuh Pakatan ini. Ibarat kita memancing ikan dengan umpan yang disediakan. Jika ikan itu faham bahawa itu adalah umpan jerat, sepatutnya ikan menjauhkan diri daripada umpan tersebut. Kenapa harus makan umpan itu sehingga terjerat? Makna, ikan itu sengaja mencari nahas. Pandangan saya mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak, tetapi saya perlu berkata benar.


Kita perlu ingat, Perdana Menteri mengemukakan konsep satu Malaysia dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Sebagai orang Islam, kita harus bersangka baik terlebih dahulu. Saya tidak fikir maksud rakyat diutamakan adalah untuk orang UMNO atau BN nasional sahaja. Jika benar-benar Perdana Menteri adalah seorang negarawan, saya cukup yakin satu Malaysia juga adalah untuk parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP. Cuma kita perlu bersangka baik terlebih dahulu. Alangkah molek dan indahnya, kita pakat-pakat bersangka baik terhadap konsep satu Malaysia dan cuba memberikan input yang sebaik mungkin untuk menjayakannya. UMNO pula, jangan terlalu jumud sehingga menganggap sesuatu yang datang dari pembangkang semuanya negatif. Jika ini ada dalam pemikiran kita, buanglah jauh-jauh cadangan untuk berunding atau lupakan sahaja idea kerajaan perpaduan. Kita perlu ingat bahawa setiap manusia yang dijadikan oleh Allah SWT adalah kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru, kelebihan pada seseorang perlu diterima walaupun pahit untuk ditelan.


Pada hemat saya, semuanya ini boleh berlaku jika semua pihak percaya dan memulakannya dengan proses perundingan terlebih dahulu. Jika kita mengamalkan sikap bersangka baik, bermakna kita perlu menghulurkan tangan dan tali persaudaraan ke arah kebaikan. Lagipun tuntutan perpaduan amat dituntut oleh Islam. Apa salah berbincang dengan UMNO untuk demi masa depan Melayu dan Islam. Jika parti DAP, Gerakan dan MCA boleh berbincang tentang masa depan orang Cina, pendidikan Cina dan mempertahankan budaya Cina, kenapa PAS, PKR dan UMNO tidak boleh berbincang tentang masa depan Islam dan Melayu?


PAS dan UMNO perlu duduk berbincang mengenai masa depan orang Melayu dan Islam dalam sebuah negara yang berakarkan Melayu (Malay Polity) pada asalnya. Saya yakin, jika PAS dan UMNO bersatu, Melayu dan Islam akan menjadi hebat. Orang lain tidak akan berani memperkecil-kecil kita atau membuat tuntutan yang tidak masuk akal. Hari ini kenapa orang lain begitu berani? sebab mereka tahu di mana kelemahan kita. Perpecahan adalah punca kepada segala kelemahan. Justeru, marilah kita sama-sama menghayati kata-kata Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyasah Al-Syar’iyyah, katanya, penguasa-penguasa tidak dapat tidak, harus berunding kerana Nabipun telah diperintahkan berbuat demikian (Karim Zaidan, 2000).


PAS dan PKR perlu sedar, tidak semua orang UMNO berhati batu. Ramai kalangan yang rasional, baik dan bersikap terbuka. Mungkin buat masa ini, hasilnya belum dapat dirasai, tetapi ia memerlukan sedikit masa kerana prosesnya masih panjang setelah sekian lama mereka berpecah. Jika orang Cina, tanpa mengira DAP, MCA atau Gerakan, boleh bersatu hati dan duduk semeja berbincang soal pendidikan Cina (SJKC) dan lain-lain kepentingan Cina, kenapa kita tidak? Menurut kajian yang saya lakukan, orang Cina, tidak kira apa jua latar belakang ideologi dan parti politik, sanggup ‘bergadai nyawa’ untuk mempertahankan SJKC ini, kenapa kita tidak boleh bergerak ke arah itu demi bangsa dan Islam tercinta? Justeru, saya amat mengharapkan Tuan Guru Nik Aziz selaku tokoh agama yang dihormati ramai, dapat merenung dan meneliti proses rundingan ini sedalam-dalamnya demi masa depan Islam yang tercinta. Lupakanlah sangkaan buruk terhadap UMNO buat sementara waktu. Tuan Guru tidak perlu takut dan tidak akan masuk perangkap sekiranya Tuan Guru berada di pihak yang benar. Rakyat hari ini tahu menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Akhirnya, marilah kita hayati serangkap pepatah Cina yang berbunyi, perjalanan seribu batu, bermula dengan langkah pertama. Maksudnya, kita tidak boleh menyelesaikan satu-satu masalah besar dalam satu malam sahaja, tetapi perlu ada permulaan, itulah langkah pertama.

No comments:

Post a Comment