Wednesday, October 7, 2009

Kerajaan Perpaduan: Buruk Sangatkah UMNO

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 19 Jun 2009


Selepas Muktamar PAS berakhir, DAP dan PKR ibarat cacing kepanasan mendengar cadangan PAS untuk berbaik-baik dengan UMNO dalam membentuk kerajaan perpaduan. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya berita ini, tetapi ia suatu perkara yang menarik dalam meneliti perkembangan politik Melayu Islam di Malaysia. Sebagai sebuah parti yang dikatakan memperjuangkan Islam, saya yakin PAS mempunyai alasan yang tersendiri yang perlu dihormati. Apatah lagi perjuangan PAS memahami tuntutan dan aspirasi agama Islam yang suci. Islam tidak pernah menolak kebaikan, sebaliknya Islam menolak memungkaran dan kejahatan serta yang haram. Atas alasan inilah, PAS tampil untuk menghulur tangan dan membuka ruang perbincangan dengan UMNO yang sekian lama tertutup.


UMNO tidak boleh dianggap sebagai musuh, sebab UMNO adalah parti orang Islam, walaupun mungkin perjuangannya sedikit berbeza. Jika PAS boleh berbincang dengan orang bukan Islam, kenapa tidak dengan orang Islam? Apakah UMNO itu lebih buruk daripada orang bukan Islam. Rasa fikir sudah tentu tidak. Seburuk-buruk UMNO, ahli-ahli mereka tetap saudara seIslam kita. Kita wajib membantu dan menolong saudara kita jika mereka dalam kesusahan, tanpa mengira siapa dan apa latar belakangnya.


Walau bagaimanapun, setelah polimek ini berlanjutan, saya tersentak dan agak terkejut dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz, Mursidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, pada 17 Jun 2009. Tuan Guru Nik Aziz sama sekali menolak perundingan kerajaan perpaduan. Hatta sehingga meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan rundingan agenda kerajaan perpaduan. Berikut saya petik kata-kata beliau:

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang. Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini. Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang (MStaronline, 17 Jun 2009).


Selama ini, semua sedia maklum ada kelembutan dan betapa berhikmahnya Tuan Guru Nik Aziz. Lontaran ideanya sentiasa mendapat perhatian dan begitu dihormati. Tetapi tidak pada kali ini. Isu kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah dan begitu menguji kesabaran ketokguruannya. Kenapa dan mengapa? Mungkin Tuan Guru Nik Aziz sahaja yang tahu. Mungkin Tuan Guru telah banyak menunaikan solat sunat meminta petunjuk daripada Allah SWT. Apapun, pendapat beliau perlu dihormati kerana ia adalah hak peribadi seseorang dalam sebuah negara demokrasi.


Kerajaan perpaduan bukan suatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku di negara lain. Menurut Wan Abdul Rahman (17 Jun 2009), dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922. Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, perdana menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945. Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Misalnya, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara. Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.


Hujah ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan boleh menjadi realiti kerana ia tidak mustahil. Ia adalah suatu perkara yang boleh dilakukan kerana manusia adalah makhluk yang rasional dan ada akal. Persoalannya, daripada mana hendak bermula? Sudah tentu, ia perlu melalui proses yang pertama itu melalui perundingan, kerana inilah tuntutan Islam. Dalam surah Al-Imran ayat 159, Allah berfirman bermaksud: bermesyuaratlah engkau dengan mereka dalam sesuatu urusan, maka apabila engkau telah mempunyai pendirian (yang tetap), bertawakkallah kepada Allah SWT.


Bermesyuarat dalam ayat ini bermaksud berunding. Kalau kita tidak berunding bagaimana sesuatu proses boleh bermula. Saya begitu terkejut apabila Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa orang UMNO sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah. Beliau juga berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang (PAS, PKR dan DAP) untuk jawatan menteri (MStaronline, 17 Jun 2009).


Saya tidak nafikan memang sukar untuk BN/UMNO melantik parti pembangkang menjadi menteri, tetapi itu bukanlah suatu yang mustahil. Berundinglah dahulu, manalah tahu jika BN bersedia memberi dan menerima. Semuanya perlu ada permulaan. Batu yang begitu keraspun apabila air menitik ke atasnya saban kali, batu yang keras itupun boleh menjadi lekok, inikan pulak hati manusia yang begitu lembut. Pokoknya semua perkara mesti dimulai dengan rundingan. Sama ada diterima atau tidak hasil rundingan tersebut, itu bukanlah suatu hal yang besar, kerana ia adalah perkara biasa dalam proses perundingan. Boleh jadi diterima, boleh jadi tidak. Kita serahkan kepada Allah SWT yang menentukan segalanya. Pokoknya, kita telah melakukan amalan mulia dan makruf yang amat dituntut dalam Islam.


Dalam scenario politik Malaysia, semua pihak tahu bahawa PAS dan UMNO adalah parti politik yang amat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, berbanding dengan PKR yang menumpang kekuatan PAS. Jika ahli-ahli PAS tidak mengundi PKR (termasuk DAP), saya tidak fikir PKR boleh mendapat sebegitu banyak undi, apatah lagi untuk memerintah Selangor, Pulau Pinang dan dulunya Perak. Ahli parlimen dan ADUN PKR juga akan kalah di Kelantan jika ahli-ahli PAS tidak mengundi mereka ataupun PAS berhak untuk tidak memberikan apa-apa kerusi kepada PKR. Tetapi dengan sikap keterbukaan PAS, PKR tetap diberikan kerusi di Kelantan dan dilantik menjadi exco walaupun PKR tidak sekuat PAS di sana.


Justeru, saya menjadi semakin keliru apabila isu kerajaan perpaduan yang disarankan oleh PAS mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutu mereka iaitu PKR dan DAP. Sepatutnya, rakan sekutu PAS ini bersangka baik kerana usaha sebegini amat dituntut oleh Islam, apatah lagi PKR turut diterajui oleh orang Melayu Islam. Jika DAP menentang, itu adalah perkara biasa, kerana DAP sejak dahulu lagi adalah parti politik Cina yang ultra kiasu atau ultra Cina dan sama sekali menolak Islam. Parti ini amat takut kalah dan sentiasa mahu menang sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun menjadi pembangkang kepada BN.


Justeru, saya tidak faham kenapa DAP dan PKR harus melarang PAS untuk merunding. Apakah hak DAP dan PKR untuk melarang PAS berdialog dengan UMNO. Apakah UMNO ini terlalu buruk sehingga tidak boleh dibawa berbincang? Apakah DAP dan PKR benar-benar melayan PAS sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat, terutama di Pulau Pinang dan Selangor, dahulunya Perak. Lupakah kita mengenai perlantikan Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak? Bagaimanakah reaksi DAP ketika Sultan Perak memilih Nizar sebagai MB? Penerimaan DAP terhadap Nizar berlaku setelah berlaku perundingan sesama mereka selepas itu. Itupun kerana DAP tidak ada pilihan. Jika ada pilihan, saya tidak fikir DAP akan menerima ADUN PAS sebagai MB Perak?


Jika DAP benar-benar menerima PAS, sudah tentu PAS akan diraikan dalam Pakatan Rakyat. Terdapatkah ADUN PAS yang dilantik sebagai exco di Pulau Pinang? Jika DAP dan PKR benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya melantik ADUN PAS sebagai exco walaupun bilangannya tidak ramai berbanding PKR dan DAP. DAP dan PKR perlu ingat, kemenangan mereka adalah ditentukan oleh pengundi-pengundi PAS. Dengan sebab itu, PAS tidak harus terjerat kepada permainan politik kedua-dua parti politik. Parti-parti politik ini mempunyai kepentingan. Segelintir mereka tidak akan teragak-agak untuk melompat apabila berada dalam keadaan tersepit. Lihat sahaja keadaan di negeri Perak. Semua menjadi kacau bilau berlaku apabila ketiga-tiga ADUN tersebut keluar parti, walaupun saya tidak nafikan mereka mungkin telah diumpankan oleh pihak lain. Saya tidak menyalahkan sepenuhnya mereka yang mengumpan, kerana itu memang kerja orang yang mengumpan. Persoalannya, kenapa kita tergoda dengan umpan tersebut? Itu menunjukkan betapa rapuhnya iman kita, serapuh Pakatan ini. Ibarat kita memancing ikan dengan umpan yang disediakan. Jika ikan itu faham bahawa itu adalah umpan jerat, sepatutnya ikan menjauhkan diri daripada umpan tersebut. Kenapa harus makan umpan itu sehingga terjerat? Makna, ikan itu sengaja mencari nahas. Pandangan saya mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak, tetapi saya perlu berkata benar.


Kita perlu ingat, Perdana Menteri mengemukakan konsep satu Malaysia dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Sebagai orang Islam, kita harus bersangka baik terlebih dahulu. Saya tidak fikir maksud rakyat diutamakan adalah untuk orang UMNO atau BN nasional sahaja. Jika benar-benar Perdana Menteri adalah seorang negarawan, saya cukup yakin satu Malaysia juga adalah untuk parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP. Cuma kita perlu bersangka baik terlebih dahulu. Alangkah molek dan indahnya, kita pakat-pakat bersangka baik terhadap konsep satu Malaysia dan cuba memberikan input yang sebaik mungkin untuk menjayakannya. UMNO pula, jangan terlalu jumud sehingga menganggap sesuatu yang datang dari pembangkang semuanya negatif. Jika ini ada dalam pemikiran kita, buanglah jauh-jauh cadangan untuk berunding atau lupakan sahaja idea kerajaan perpaduan. Kita perlu ingat bahawa setiap manusia yang dijadikan oleh Allah SWT adalah kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru, kelebihan pada seseorang perlu diterima walaupun pahit untuk ditelan.


Pada hemat saya, semuanya ini boleh berlaku jika semua pihak percaya dan memulakannya dengan proses perundingan terlebih dahulu. Jika kita mengamalkan sikap bersangka baik, bermakna kita perlu menghulurkan tangan dan tali persaudaraan ke arah kebaikan. Lagipun tuntutan perpaduan amat dituntut oleh Islam. Apa salah berbincang dengan UMNO untuk demi masa depan Melayu dan Islam. Jika parti DAP, Gerakan dan MCA boleh berbincang tentang masa depan orang Cina, pendidikan Cina dan mempertahankan budaya Cina, kenapa PAS, PKR dan UMNO tidak boleh berbincang tentang masa depan Islam dan Melayu?


PAS dan UMNO perlu duduk berbincang mengenai masa depan orang Melayu dan Islam dalam sebuah negara yang berakarkan Melayu (Malay Polity) pada asalnya. Saya yakin, jika PAS dan UMNO bersatu, Melayu dan Islam akan menjadi hebat. Orang lain tidak akan berani memperkecil-kecil kita atau membuat tuntutan yang tidak masuk akal. Hari ini kenapa orang lain begitu berani? sebab mereka tahu di mana kelemahan kita. Perpecahan adalah punca kepada segala kelemahan. Justeru, marilah kita sama-sama menghayati kata-kata Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyasah Al-Syar’iyyah, katanya, penguasa-penguasa tidak dapat tidak, harus berunding kerana Nabipun telah diperintahkan berbuat demikian (Karim Zaidan, 2000).


PAS dan PKR perlu sedar, tidak semua orang UMNO berhati batu. Ramai kalangan yang rasional, baik dan bersikap terbuka. Mungkin buat masa ini, hasilnya belum dapat dirasai, tetapi ia memerlukan sedikit masa kerana prosesnya masih panjang setelah sekian lama mereka berpecah. Jika orang Cina, tanpa mengira DAP, MCA atau Gerakan, boleh bersatu hati dan duduk semeja berbincang soal pendidikan Cina (SJKC) dan lain-lain kepentingan Cina, kenapa kita tidak? Menurut kajian yang saya lakukan, orang Cina, tidak kira apa jua latar belakang ideologi dan parti politik, sanggup ‘bergadai nyawa’ untuk mempertahankan SJKC ini, kenapa kita tidak boleh bergerak ke arah itu demi bangsa dan Islam tercinta? Justeru, saya amat mengharapkan Tuan Guru Nik Aziz selaku tokoh agama yang dihormati ramai, dapat merenung dan meneliti proses rundingan ini sedalam-dalamnya demi masa depan Islam yang tercinta. Lupakanlah sangkaan buruk terhadap UMNO buat sementara waktu. Tuan Guru tidak perlu takut dan tidak akan masuk perangkap sekiranya Tuan Guru berada di pihak yang benar. Rakyat hari ini tahu menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Akhirnya, marilah kita hayati serangkap pepatah Cina yang berbunyi, perjalanan seribu batu, bermula dengan langkah pertama. Maksudnya, kita tidak boleh menyelesaikan satu-satu masalah besar dalam satu malam sahaja, tetapi perlu ada permulaan, itulah langkah pertama.

1 MALAYSIA MENEPATI KEHENDAK ISLAM

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 17 Mei 2009

Agama Islam adalah agama yang satu, satu Tuhan (Allah SWT), satu umat, satu kiblat (kaabah), satu syariat, satu Nabi (Khatamul Anbiya), satu Quran, satu bahasa (Arab) dan lain-lain lagi. Semuanya bersumberkan satu bagi memastikan umat Islam bersatu membesarkan Allah SWT yang satu. Berbekal dengan satu inilah, sinar satu Islam berjaya memancarkan cahaya ke seluruh pelusuk dunia merentas batasan bangsa, warna kulit, darjat dan sebagainya. Hari ini, umat Islam telah melakar sejarah, berada di tangga kedua penduduk teramai di dunia yakni menghampiri 1.5 bilion, walaupun baru berusia 1400 tahun. Agama Kristian masih di tangga teratas dari segi jumlah penduduk dunia sekitar dua billion. Angka ini tidak menghairankan kerana Kristian telah menapak selama lebih 2000 tahun. Begitu juga dengan agama Hindu dan Buddha yang lebih lama daripada itu.


Agama Islam adalah agama yang masih muda berbanding dengan agama-agama lain dari segi usianya. Pada hemat saya, tidak lama lagi umat Islam akan menjadi penduduk terbesar dunia, berdasarkan kepada sambutan masa kini dan sebelum ini. Daya tarikan Islam tidak lain bermula dengan satu kalimah Islam itu sendiri (syahadah). Satu untuk semua, semua menyembah yang satu. Orang yang paling mulia, adalah mereka yang paling dekat dengan yang Maha Satu, tidak kira mereka kaya, miskin atau apa jua latar belakang. Begitu juga dengan konsep satu Malaysia, satu Negara untuk semua rakyat, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, adalah bertepatan dengan semangat satu untuk semua sebagaimana yang dituntut oleh Islam.


Sejarah membuktikan bahawa dalam Islam (Negara Islam) adalah untuk semua. Kita lihat orang bukan Islam boleh hidup senang lenang dalam sebuah Negara Islam, tanpa gangguan, hatta kekayaan mereka mengatasi penduduk Islam, seperti di Malaysia. Islam berpegang kepada konsep satu untuk semua. Malaysia untuk semua bangsa yang ada. Sesiapa sahaja yang berusaha lebih, maka mereka berhak mendapat ke atas apa yang diusahakan. Begitulah indahnya konsep kesatuan Islam. Malangnya, belum tentu orang Islam boleh hidup tenang dan senang-lenang dalam sebuah Negara bukan Islam. Lihat sahaja contoh minoriti Islam di Selatan Thailand, Filipina, Singapura (dahulunya negeri Islam) dan sebagainya. Rata-rata minoriti Islam di Negara bukan Islam, mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Umat Islam tidak hanya didiskriminasikan, malahan ada yang ditindas, dianiayai dan tidak kurang yang dibunuh dengan kejam seperti minoriti Islam di bumi Palestin. Merempat di bumi sendiri. Orang yang mendatang, Yahudi Zionis bertindak kejam dan ganas. Yahudi Zionis bermaharajalela lela di bumi umat Islam. Maka, tidak hairan jika Yahudi berpegang kepada prinsip mereka adalah umat terpilih atau the chosen people. Satu hanya untuk satu, bukan satu untuk semua. Namun, disebabkan oleh mereka bersatu, umat Islam yang ramai yang berpegang kepada yang satu, telah dapat dikalahkan oleh Yahudi Zionis disebabkan oleh kesatuan mereka. Dengan sebab itu, semua yang berpegang kepada yang satu mesti bersatu.


Justeru, satu untuk semua mesti direalisasikan dan diperkasakan dalam usaha menjana kekuatan dan mencipta kegemilangan. Konsep satu Malaysia mendekati prinsip Islam sebagai agama benar nan satu. Seperti yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, konsep satu Malaysia telah terpakai sekian lama. Satu negara, Satu bahasa (bahasa Melayu bahasa rasmi), satu Sultan (Yang DiPertuan Agong), satu agama (Islam sebagai agama persekutuan), satu hak istimewa orang kepada orang Melayu dan bumiputera dan sebagainya.


Semuanya berasaskan kepada perlembagaan yang satu yang telah dipersetujui oleh semua kaum ketika itu melalui satu kontrak sosial. Pendek kata, satu Malaysia merujuk kepada sebuah Negara kepunyaan bersama tertakluk kepada perlembagaan persekutuan yang satu. Justeru, tidak timbul soal, orang bukan Melayu didiskriminasikan melalui konsep satu Malaysia. Juga, tidak timbul isu, kontrak sosial itu tidak lagi relevan kerana hanya segelintir sahaja yang membuat keputusan ketika itu. Tidakkah kita terfikir bahawa keadilan kontrak sosial itu ada timbal baliknya, tidak hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.


Keterbukaan orang Melayu menerima kedatangan orang-orang bukan Melayu yang berhijrah, memperlihatkan bahawa konsep satu Malaysia telah terpahat di hati orang Melayu. Orang Melayu sanggup menerima satu bangsa satu Negara kepada satu Negara berbagai bangsa. Keterbukaan dan toleransi berlaku setelah persetujuan bersama dicapai. Konsep satu Malaysia (Tanah Melayu) telah wujud apabila orang bukan Melayu bersetuju menerima kontrak sosial secara bersama. Dengan sebab itu tidak hairan Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambhantan menerima seadanya kontrak sosial tersebut. Kedua pemimpin ini melahirkan rasa syukur terhadap orang Melayu yang telah menerima mereka setelah mereka tidak ditolak di Negara-negara lain yang dihijrahi seperti Thailand, Burma dan sebagainya.


Tidak lama selepas itu, Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia. Perlembagaan masih satu, cuma adalah beberapa tambahan khas untuk Sabah dan Sarawak. Konteks semangat kontrak sosial tetap tidak berubah, hak istimewa Melayu (bumiputera) dipanjangkan ke sana. Uniknya, di Sabah Sarawak adalah, walaupun kedua-dua negeri menyertai Malaysia setelah 6 tahun mencapai kemerdekaan, mereka adalah contoh satu Malaysia yang amat sesuai untuk diketengahkan dan dirujuk.


Seperti yang pernah dikatakan oleh YAB Perdana Menteri, kedua-dua negeri ini adalah contoh satu Malaysia. Walaupun masing-masing mempunyai lebih daripada 30 etnik, tetapi semangat kesatuan mereka amat mantap berbanding Semenanjung yang hanya mempunyai tiga etnik iaitu Melayu (60 peratus), Cina (25 peratus), India (10 peratus) dan lain-lain 5 peratus, tetapi masih sukar untuk mencontohi Sabah dan Sarawak. Persoalannya, kenapa? Jawapannya, di Sabah dan Sarawak, konsep satu Malaysia telah terpakai sekian lama, sejak mereka menyertai Malaysia. Penggunaan satu bahasa, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan begitu meluas. Justeru, tidak hairan penduduk Sabah dan Sarawak begitu fasih berbahasa Melayu. Bahasa telah menyatukan mereka. Bila pergi ke sana, kita agak sukar untuk membezakan mereka adalah iban, dayak, murut atau kazadan, kerana semua boleh berbahasa Melayu dengan baik.


Keadaan sebaliknya berlaku di Semenanjung. Walaupun kita hanya boleh berbangga dengan Tan Siew Sin dan Sambhantan yang memahami sejarah. Mereka fasih berbahasa Melayu. Bahasa Melayu telah berperanan besar menyatukan pelbagai bangsa ketika itu. Namun, keadaan sudah berbeza hari ini. Semakin ramai yang berfikiran seperti Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang yang mahukan Malaysian Malaysia dilaksanakan. Pada mereka, satu Malaysia adalah sama rata-sama rasa. Tidak ada hak istimewa orang Melayu, bahasa lain (Cina) hendaklah setaraf dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sekolah jenis kebangsaan mesti setara dengan sekolah kebangsaan, atas kata kunci fair and square. Mujurlah MCA, Gerakan dan MIC dapat sedikit memahami keadaan. Itupun terlalu sukar bagi UMNO untuk membuat mereka faham kerana mereka tidak dapat melihat atau sengaja pejamkan mata untuk melihat ‘diskriminasi’ tersebut dalam bentuk yang positif.


Dengan sebab itu, hari ini apabila bercakap soal satu Malaysia, bukan melayu tidak melihat kepada satu Malaysia yang bersandarkan kepada perlembagaan, mereka hanya mahukan satu Malaysia melaksanakan dasar fair and square. Tidak ada DEB, tidak ada hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Persoalannya, kenapakah mereka langsung tidak bersuara soal, perlunya satu sekolah, satu bahasa dalam soal pembinaan Negara bangsa? Kenapa bila YAB Perdana Menteri sebut sahaja satu Malaysia, maka secara spontan mereka melatah bahawa satu Malaysia adalah sama rata dan sama rasa, apa jua yang berpihak kepada Melayu dan Islam mesti dihapuskan? Kenapa kita bincangkan tentang perlunya satu bahasa Melayu diperkasakan di sekolah jenis kebangsaan? Semua ini berlaku kerana sifat ultra kiasu atau sentiasa mahu menang telah lama terpahat dalam pemikiran mereka. Apa jua perkara dilihat tidak menguntungkan mereka, maka akan ditentang habis-habisan.


Saya rasa pelik, bila ada polisi kerajaan pusat yang menguntungkan maka akan disokong habis-habisan. Begitu juga bila ada polisi yang tidak menguntungkan akan ditentang habis-habisan. Bermakna, politik perkauman masih tebal. Kita hanya meletakkan kepentingan bangsa di hadapan berbanding kepentingan nasional. Misalnya, isu siaran berita dalam bahasa Mandarin di RTM yang telah diubah daripada jam 8.00 malam kepada waktu yang lain. Sebelum inipun siaran berita bukan Melayu, bukan pada jam 8.00 malam, kemudian di ubah kepada jam 8.00 malam. Bila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan baru dilantik, maka siaran berita mandarin diubah kepada asal, yakni bukan jam 8.00 malam. Kita dapati, serta merta MCA, Gerakan dan DAP melompat dengan mengatakan ia adalah satu diskriminasi dan tidak adil. Persoalannya, adakah tindakan ini satu yang wajar, bertepatan dengan konsep satu Malaysia yang mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi?


Begitu juga dalam isu kemasukan Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Au Kam Wah, bekas pemimpin SAPP, ke dalam parti Gerakan. Secara cepat, Presiden Gerakan terus mengambil keputusan mencadangkan agar Datuk Raymond Tan dilantik sebagai Naib Presiden Gerakan, sebagai mewakili kepentingan masyarakat Cina di Sabah. Gerakan selama ini mengatakan bahawa mereka adalah parti untuk semua kaum. Tetapi tidak bertindak sedemikian apabila berkaitan kepentingan kaum Cina. Bermakna, Gerakan masih lagi parti chauvinis Cina bukannya untuk semua kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan mereka. Cuba presiden Gerakan kira berapa banyak parti politik di Sabah yang telah mewakili masyarakat Cina? Sepatut Gerakan perlu berkata bahawa perlantikan Datuk Raymond adalah untuk mewakili masyarakat Sabah secara keseluruhan. Inilah bentuk pemikiran satu Malaysia, dan bukannya terkongkong dalam kotak etnik sahaja. Saya tidak nafikan ada kumpulan tertentu dari kalangan orang Melayu juga berfikiran sedemikian.


Kita perlu memandang jauh ke hadapan bila bercakap soal pembinaan Negara bangsa berasaskan kepada konsep satu Malaysia. Kepentingan etnik hendaklah diketepikan apabila berhadapan dengan kepentingan nasional. Apakah kepentingan nasional? Kepentingan nasional adalah perlembagaan yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum. Maka, rujuklah perlembagaan itu sebagai titik tolak perbincangan. Apakah yang mewarnai perlembagaan itu yang boleh dikongsi pada peringkat nasional? Sudah tentu dalam semangat satu Malaysia adalah isu-isu yang satu iaitu satu ketua Negara, Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai payung Negara, agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, hak-hak istimewa agama Islam orang Melayu dan bumiputera, sekolah kebangsaan untuk semua dan sebagainya.


Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapakah saya membangkitkan isu ini? Inilah adalah perkara yang selalu dipertikaikan dan menimbulkan konflik. Orang bukan Melayu tidak pernah berpuas hati dengan perkara yang telah dibangkitkan itu. Mereka mahukan kesamarataan dan kesaksamaan. Pada hemat saya, jika perkara inilah yang terus dibangkitkan, tanpa melihat kepada nilai-nilai positif yang terkandung, sampai bila-bila pun sukar untuk kita melihat satu Malaysia menjadi realiti. Justeru, sudah sampai masanya kita melihat keadilan itu daripada kacamata Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan sama rasa dan sama rasa. Di sinilah saya kira, indah Islam yang membawa mesej satu agama untuk semua manusia di seluruh dunia berpandu kepada Quran dan Sunnah. Satu Malaysia untuk semua, berpandu kepada perlembagaan persekutuan.

Rasuah Lebih Haram Dari Babi

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 22 Dis 2008

Rasuah atau politik wang telah diketahui umum sebagai isu yang amat kontroversi melanda UMNO hari ini. Ingatan demi ingatan telah diberikan oleh Presiden UMNO (Perdana Menteri), Timbalan Presiden (Timbalan Perdana Menteri) dan tidak ketinggalan bekas Presiden UMNO (Perdana Menteri), Tun Dr. Mahathir Mohamed. Pendek kata, semua orang memperkatakan akan bahaya hina dan jijiknya rasuah, tidak ketinggalan parti-parti politik pembangkang.


Terbaru, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di parlimen. Ianya sedang hangat dibahaskan. Walaupun ada segelintir yang sinis, azam kepemimpinan negara untuk membenteras rasuah hendaklah dipandang serius. Rasuah adalah isu bersama, tidak kira siapa kita dan latar belakang politik.


Syed Hussein Alatas (1995) merujuk rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Ciri-ciri rasuah digalurkan seperti suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan,

(i) penipuan terhadap badan pemerintahan, lembaga swasta atau masyarakat umumnya,
(ii) dengan sengaja melalaikan kepentingan kepentingan umum untuk kepentingan khusus,
(iii) dilakukan dengan rahsia, kecuali dalam keadaan di mana orang-orang yang berkuasa atau bawahannya menganggapnya tidak perlu,
(iv) melibatkan lebih dari satu orang atau pihak,
(v) adanya kewajipan dan keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau yang lain,
(vi) terpusatnya kegiatan (rasuah) pada mereka yang mengkehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya,
(vii) adanya usaha untuk menutup perbuatan rasuah dalam bentuk-bentuk pengesahan hukum, dan
(viii) menunjukkan fungsi ganda yang kontradiktif pada mereka yang melakukan rasuah.


Rasuah dikatakan bermula apabila parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin politik yang memerintah melibatkan diri dalam perniagaan. Kajian demi kajian dan penemuan demi penemuan telah banyak dilakukan mengenai punca-punca rasuah dan cara mengatasinya. Namun, ia agak sukar untuk dibenteras selagi mana parti-parti politik melibatkan diri dalam perniagaan. Jamaie Hamil (2004) membuat kajian menarik berkaitan penglibatan UMNO secara aktif dalam perniagaan telah menyebabkan berlakunya rasuah.


Selepas DEB dilancarkan, orang Melayu dikatakan tidak hanya dibiarkan menguasai politik semata-mata tetapi mereka juga perlu menguasai ekonomi yang selama ini hanya dikuasai oleh orang Cina. Penglibatan UMNO dalam perniagaan semakin aktif ketika era Mahathir sehinggalah ke hari ini. UMNO telah membentuk syarikat korporat dan mengakibatkan kepentingan politik dan ekonomi dimanipulasikan. Maka wujud orang Melayu yang dibantu UMNO menjadi jutawan dan ahli korporat yang berjaya. Mereka terus bergantung kepada elit politik UMNO untuk memastikan kemandirian perniagaan mereka terjamin. Sementara elit politik pula bergantung kepada elit ekonomi untuk mengukuhkan kekuasaan. Persepsi orang Melayu adalah untuk mengumpul kekayaan, jalan pintasnya adalah dengan menjadi ahli politik.
Akibatnya, kekayaan negara diagihkan kepada kelompok tertentu dengan alasan menjaga kepentingan Melayu. Amalan kronisme, nepotisme dan politik wang berlanjutan sehingga menjadi budaya politik.


Tema yang sama turut dibincangkan oleh Gomez (1994) dalam penyelidikannya mengenai penglibatan parti-parti politik komponen BN dalam perniagaan iaitu UMNO, MCA dan MIC. Penglibatan parti-parti politik ini telah menimbulkan banyak masalah kerana mereka mempunyai kepentingan dalam kerajaan. Pelbagai syarikat yang dipunyai oleh UMNO, MCA dan MIC disenaraikan dengan jelas dan penuh bukti akan kepentingan mereka dalam kerajaan. Boleh dikatakan semua tender kerajaan dibolot oleh syarikat-syarikat ini yang ada kepentingan dalam kerajaan BN. Hasilnya, berlaku perkara-perkara yang seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.


Perkara yang sama pernah dinyatakan oleh Malek Merican, seorang pakar ekonomi yang mahukan penstrukturan semula DEB dilakukan. Rasuah dikatakan semakin berleluasa selepas diwujudkan DEB.

... bahawa banyak tender, pemberian, lesen dan kelulusan peruntukan syer dibuat atas hubungan, bukan berasaskan bida yang terendah, yang paling cekap atau sesuatu asas berkakitan merit yang lain. Mereka bimbang yang Bumiputera dan bukan Bumiputera sedang mula percaya bahawa mereka patut bercita-cita menjadi broker kuasa dan mempengaruhi penjaja-penjaja daripada beriltizam untuk menjadi pengurus, pengeluar dan pengilang yang paling cekap... (Faaland et al, 2005: 199)

DEB yang sepatutnya membantu orang Melayu dan bumiputera tidak mencapai matlamat yang diharapkan, malahan menjadikan orang Melayu leka dan terjerumus ke lembah rasuah yang hina.


Penyelidikan Chin Yee Whah (2005) berkait rapat dengan apa yang dikatakan oleh Malek Merican. Beliau mengkaji sejarah keterlibatan orang Cina dalam bidang perniagaan, pembentukan nilai dan amalan budaya niaga, modenisasi perniagaan dan tranformasi yang berlaku. Apa yang menarik perhatian ialah mengenai kecenderungan usahawan Cina dikatakan terpaksa mengambil usahawan Melayu sebagai rakan niaga bagi mendapatkan projek kerajaan dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka.


Sementara usahawan Melayu pula mempunyai persepsi bahawa usahawan Cina boleh menyediakan modal, kepakaran, kemahiran dan pengalaman untuk menjayakan perniagaan dan projek yang diterima. Lebih menyedihkan lagi, rakan niaga Melayu yang dipilih lebih rela diperalatkan atau dijadikan sebagai boneka yang mana mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan melainkan menerima elaun setiap bulan.


Menyedari akan jijiknya amalan rasuah, kerajaan BN telah menggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) dan membuat keputusan untuk menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 5 November 2003 (Kerajaan Malaysia, 2006). Penggubalan PIN dan penubuhan IIM adalah lanjutan hasil daripada kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik tempatan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai persepsi awam terhadap rasuah di Malaysia. Nyata sekali bahawa amalan rasuah begitu berleluasa dan amat membimbangkan. Hasil Kajian yang dilakukan oleh IIM juga tidak menampakkan perubahan yang ketara dalam amalan rasuah ini jika dibandingkan dengan Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perceptions Index (CPI).


Menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2007 yang dicatatkan pada tahap 6.76 peratus merupakan satu tahap yang agak membimbangkan. Sebanyak 52.5 peratus responden yang terlibat dalam kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 juga menyatakan bahawa rasuah dalam sektor politik adalah tidak terkawal.


Seperti CPI, indeks rasuah dinilai daripada tahap 10 bagi prestasi paling cemerlang dan tahap satu bagi prestasi paling lemah. Kajian IIM melibatkan 14,967 responden dengan 67 peratus atau 10,023 adalah isi rumah, 26.9 peratus atau 4,031 adalah penjawat awam dan 913 atau 6.1 peratus adalah pertubuhan ekonomi. Sejumlah 53.9 peratus responden juga mengatakan tahap amalan rasuah dalam negara adalah tinggi. Hanya 58.2 peratus daripada keseluruhan responden pula mengatakan langkah-langkah pencegahan rasuah adalah berkesan.


Kajian IIM dan CPI tidak banyak bezanya. Menurut CPI, Malaysia berada pada tangga 47 (daripada 180 negara) pada tahun 2008. Maklumat lanjut untuk tahun sebelumnya adalah seperti jadual berikut:


Kedudukan CPI Malaysia 2001-2008


Tahun .....Tangga........ Skor CPI....... Jumlah Negara

2001............36............... 5.0......................91
2002 ...........33............... 4.9.................... 102
2003 ...........37............... 5.2.....................133
2004........... 39............... 5.0.....................146
2005........... 39............... 5.1.....................159
2006 ...........44............... 5.0.....................163
2007 ...........43................5.1.....................179
2008 ...........47............... 5.1.....................180

Sumber: Transparency International


Ringkasnya, dari tahun 2001-2008, kita masih berligar pada skor 4.9 - 5.1, pada tangga antara 36 hingga 47. Ini bermakna, semakin banyak negara yang menyertai kajian ini, kedudukan kita semakin jatuh. Negara-negara yang dikatakan bebas rasuah 2008 ialah Finland, Iceland, Denmark, Sweden dan Singapura, berada dalam lingkungan (9.2 – 9.7). Negara yang paling teruk adalah Somalia (1.0), Iraq (1.3) dan Haiti (1.4).


Jika bandingkan CPI Malaysia dengan negara-negara ASEAN, Malaysia mencatatkan kedudukan yang agak baik (5.1) iaitu ditangga kedua selepas Singapura (9.2), diikuti Thailand (3.5), Vietnam (2.7), Indonesia (2.6), Filipina (2.3), Laos (2.0), Kemboja (1.8) dan Nyanmar (1.3).


Menurut Azmi Kamaruddin, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, perang melawan rasuah adalah peperangan rakyat, bukannya institusi kerajaan atau parlimen atau badan kehakiman. Kita mesti sedar bahawa rasuah ibarat barah yang boleh membunuh ekonomi dan politik negara. Rasuah boleh membunuh parti-parti politik. Rasuah boleh menyebabkan krisis politik apabila pihak yang tidak mahu melihat lebih banyak kerosakan berlaku mula merampas kuasa. Beliau menambah, amalan rasuah tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana lebih daripada 50 peratus penduduk negara ini ialah orang Islam. Tetapi masalahnya kebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan rasuah itu merupakan orang beragama Islam. Makan rasuah itu haram, ibaratnya seperti makan babi tetapi masih banyak orang Melayu yang menerima rasuah.

Saya amat bersetuju dengan pandangan ini, sebenarnya implikasi (haram) rasuah lebih besar daripada implikasi haramnya babi. Ramai kalangan kita yang tidak menyedarinya. Jika kita berjaya menanamkan pemikiran umat Islam betapa jijik (haramnya) babi, sehingga mendengar nama babi itu sudah memualkan, saya fikir kita boleh melakukan perkara yang sama dengan meletakkan perbuatan mengambil (makan) rasuah itu lebih haram (hina) daripada memakan daging babi.


Hari ini kita gagal meletakkan haramnya rasuah, sekurang-kurangnya berada pada tahap sama haramnya babi. Kita begitu jijik dengan babi, usahkan hendak memakan, malah mendekatinya sudah menakutkan, apatah lagi untuk memegang najis itu sesuka hati. Keberjayaan kita memomokkan haramnya babi ini, menyebabkan kita masih beranggapan bahawa memakan rasuah tidak seteruk seperti makan babi. Pada persepsi kita, haramnya babi lebih mudarat daripada haramnya rasuah. Asalkan babi tidak masuk perut, maka halallah kehidupan di muka bumi ini.


Pemikiran sebegini hendak diubah. Selain daripada haramnya babi, sesuatu yang haram sumbernya, adalah juga haram dimakan, sama seperti haramnya makan babi. Malah makan rasuah lebih besar mudaratnya daripada makan babi. Ini bukanlah bermakna, saya hendak meringankan haramnya najis babi.


Apa yang saya ingin jelaskan adalah sumber yang haram masuk ke perut menjadi darah darah daging kita dan anak-anak kita. Justeru, tidak hairan jika ramai yang mengadu kepada saya, kenapa anak-anak mereka telah dididik dengan baik, mendapat pendidikan agama yang cukup, tetapi masih berkelakuan tidak seperti manusia. Inilah yang yang cuba saya ketengahkan bahawa walaupun kita tidak suapkan anak kita dengan daging babi, pendapatan haram daripada sumber haram (rasuah) adalah sama seperti kita menyuapkan daging babi ke mulut anak kita. Bila sumber yang masuk ke perut haram, maka terbitlah tingkah yang haram juga.


Rasuah ibarat barah yang akan menghancurkan agama, bangsa dan negara. Apatah lagi rasuah dalam parti-parti politik dan jabatan kerajaan yang seringkali menjadi sebutan dan bahan bualan. UMNO dikatakan sebuah parti yang mengamalkan rasuah dalam proses pemilihan kepemimpinan UMNO pada Mac 2009. Justeru, UMNO dan pemimpin UMNO mesti membebaskan diri mereka dari rasuah. Rasuah mesti dibenteraskan hingga akar umbi bagi mempositifkan imej UMNO. Tindakan yang tegas hendaklah dikenakan terhadap mereka yang terlibat, tanpa mengira siapa diri mereka dan apa latar belakangnya. Tidak ada kompromi atau pilih kasih dalam usaha membenteras rasuah.


Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri, perlu disambut dengan baik. SPRM perlu menjadi sebuah badan bebas yang mempunyai autoriti untuk bertindak, mengikut bidang kuasa, tanpa memilih bulu atau dipengaruhi oleh sesiapapun. Input-input yang sedang dibahaskan di parlimen hendaklah dipandang serius.


SPRM mesti memastikan projek-projek kerajaan mesti diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak secara telus dan terbuka. Pemimpin-pemimpin mesti disedarkan bahawa kuasa yang diperolehi mesti digunakan untuk menjaga kepentingan rakyat, bukannya tiket untuk memperkayakan diri atau parti.


Di samping itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) mesti memperbanyakkan kajian mengenai bahayanya rasuah agar masyarakat merasa jijik melakukan perbuatan tersebut. Rasuah mesti dilihat sebagai satu amalan haram, amat keji dan berdosa besar, yang boleh menghancurkan agama, bangsa dan negara. IIM hendaklah menumpukan kajian khusus mengenai rasuah dalam part-parti politik dan kroni-kroninya. Cadangan-cadangan yang berani hendaklah dimajukan tanpa rasa takut.


Perlu ditegaskan, agama Islam awal-awal lagi telah memberikan amaran Al-Mawardi mengingatkan ahli politik ini dengan membawa sepotong hadis yang bermaksud: Apabila pemimpin berniaga maka binasalah rakyat. Kenyataan ini seterusnya disokong oleh Ibnu Khaldun dengan mengukuhkan syarat itu, apabila seorang menteri melibatkan diri dalam perniagaan, ia mungkin cuai dalam menjalankan tugasnya dan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan adalah tidak mustahil. Ia juga akan menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak serata turut berlaku apabila hanya segelintir sahaja yang membolotnya.


Kenyataan ini memang jelas akan kebenaran. Perniagaan melibatkan perkiraan untung rugi. Ini memerlukan kepada penumpuan masa yang banyak untuk menguruskannya. Kerugian kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan. Kalau begitulah keadaannya, di manakah tanggungjawab mereka terhadap rakyat?


Tun Dr. Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia amat kritis dalam menangani isu rasuah. Bagi beliau, rasuah adalah suatu gejala yang jahat, tetapi dia juga faham, bagi rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, memasuki perkhidmatan kerajaan adalah “satu cara paling mudah untuk membuat duit; dan mereka pun cukup tahu antara mereka nanti ada yang akan ditendang keluar dalam pilihan raya setiap lima tahun, jadi mereka terima rasuah dan menjadi korup”. Beliau pernah berkata kepada Kuok Hock Khee, sahabat seangkatannya:
Alangkah bagusnya kalau rakyat kita satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik, seperti ahli politik Britian [...] Pesan saya kepada kaum pemuda kita [...],jangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan (Ooi Kee Beng, 2007: 171)


Perlu diingatkan juga bahawa gejala rasuah ini telah lama menular dalam sektor swasta. Misalnya, dalam sektor perbankan. Pegawai kredit yang mengendalikan perjanjian jual beli hartanah dan rumah (S&P), tidak lagi segan silu meminta habuan daripada peguam-peguam yang mendapatkan fail yang diberikan. Pegawai kredit ini dengan berani meminta sehingga 50 peratus keuntungan peguam. Bayangkan jika seorang pegawai kredit bank mendapat sekurang-kurangnya RM2000 dalam setiap S&P, bermakna jika dia mempunyai 10 S&P, wang haram rasuah yang diperolehi paling minima sebulan adalah RM20,000. Persoalannya, adakah wang ini halal dan bukan rasuah? Pada hemat saya, mengambil atau memakan wang rasuah ini lebih haram daripada makan babi.


Justeru, marilah kita berkempen dan menanamkan dalam pemikiran masyarakat kita akan haramnya rasuah lebih hina daripada haramnya babi. Langkah pertama, haramkan wakil rakyat yang memegang jawatan di peringkat kementerian-kementerian tertentu termasuk menteri-menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik, melibatkan diri dalam perniagaan. Ini penting ke arah membersihkan lagi imej pentadbiran dan pengurusan politik negara yang selalu dilabelkan oleh pihak tertentu dengan ungkapan seperti kerajaan rasuah, kerajaan menyeleweng dan sebagainya. Pada masa yang sama gaji, elaun mereka hendaklah dinaikkan pada tahap maksima seperti yang telah dilakukan oleh negara-negara maju bagi membendung rasuah gejala haram ini.

KETUANAN MELAYU: CINA TIDAK PERNAH SERIK...

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 4 Dis 2008

Isu ketuanan Melayu bukanlah satu isu baru yang telah dibangkitkan oleh parti-parti politik Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP. Ia adalah isu lama yang kerap kali digunakan sebagai senjata untuk mencari publisiti murahan dan pengaruh. Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, parti-parti politik Cina tidak pernah serik, malah semakin berani dan lantang serta sengaja membangkitkan isu-isu perkauman yang berkaitan sensitiviti orang Melayu.


Ia sengaja dibangkitkan untuk menguji reaksi orang Melayu. Apatah lagi kedudukan orang Melayu berada dalam keadaan yang lemah selepas Pilihan Raya Umum (PRU 12) Mac 2008. Apa yang saya dapat katakan, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa sama ada berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Mereka tetap menang berada dalam kerajaan pusat (BN) mahupun kerajaan negeri (Pakatan Rakyat).


Pada hemat saya, inilah bentuk perubahan dikehendaki oleh Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek. Pada persepsi Soi Lek, PRU 12 adalah petanda rakyat mahukan perubahan daripada perjuangan perkauman kepada perjuangan untuk semua bangsa Malaysia. Inilah intipati ucapan beliau yang saya layari dalam laman blognya. Pada Soi Lek, ucapannya telah dipolitikkan. Setelah membaca sepenuhnya teks ucapan beliau bertajuk Change the game, saya tidak nampak, ucapan beliau dipolitikkan oleh media, khususnya Utusan Malaysia.


Seperti kata-kata pemimpin-pemimpin Cina sebelum ini, Soi Lek mahukan rakyat Malaysia berubah seperti mana rakyat Amerika Syarikat yang memilih Barack H. Obama, merentasi batasan bangsa dan warna kulit. Perubahan yang dimaksudkan beliau termasuklah ungkapan ketuanan Melayu.


The slogan/phrase of ‘Ketuanan Melayu’, of Master and Servant relationship becomes unacceptable…the younger generation of various races will not accept it. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy. “We must change the concept of power sharing. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy.”


Semua sedia maklum bahawa setiap negera yang dijadikan oleh Allah SWT ada tuan punya asal sesuatu bangsa. Dengan sebab itu, kita dapati bangsa-bangsa yang dijadikan Tuhan akan menjadi tuan ditempatnya. Misalnya, Ketuanan Melayu membentuk negara Melayu, Ketuanan Cina membentuk negara China, Ketuanan India membentuk negara India, Ketuanan Siam membentuk negara Siam (Thailand) dan lain-lain negara yang boleh dijadikan contoh.


Sepanjang tinjauan saya, belum ada sesebuah negara menjadi majmuk secara semulajadi. Setiap negara bermula dengan satu bangsa. Dalam hal ini, sudah tentu kita menerima orang asli adalah penduduk yang asli dalam setiap negara di dunia ini. Kemajmukan berlaku melaku proses migrasi.


Sudah menjadi lumrah, sesiapa yang menjadi tuan di sesebuah negara itu, bangsa, agama dan institusi monarki (jika ada) akan lindungi atau kadangkala dimaktubkan dalam perlembagaan. Misalnya, imuniti raja dan agama Buddha di Thailand. Di Thailand, imuniti raja mengatasi segala-galanya atau lebih dikenali sebagai ‘lese-majeste laws’. Undang-undang ini masih digunakan kalangan negara-negara di dunia ini yang mengamalkan pemerintahan beraja seperti Poland, begitu juga Netherlands dan Sepanyol.


Sesiapa yang mengkritik atau mengugut raja Thailand akan dipenjara sehingga 15 tahun tanpa dibicarakan. Undang-undang yang telah berusia lebih 100 tahun masih dipertahankan sehingga ke hari ini. Malangnya di negara kita, imuniti raja-raja telah dihapuskan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kini, timbul suara-suara agar imuniti raja-raja dikembalikan. Saya mengakui, ia masih belum terlambat, tetapi perjalanannya adalah agak sukar setelah undang-undang tersebut dipinda.


Berbalik kepada situasi di Thailand, seorang aktivis politik Thailand, Daranee Charnchoengsilpakul ditangkap dan dipenjara tanpa bicara pada Julai 2008 kerana mengkritik institusi raja Thai. Begitu juga dengan seorang rakyat Australia, Harry Nicolaides, pengarang dan pensyarah Kolej, dipenjarakan pada 31 Ogos 2008 lalu, kerana mengkritik keluarga diraja Thailand dalam novel yang diterbitkan dalam tahun 2005 berhubung akaun perbelanjaan keluarga diraja Thai.


Berdasarkan kepada dua contoh ini, pendek kata, apa juga bentuk penghinaan sama ada berbentuk berita atau gambar terhadap raja Thai, akan dikenakan tindakan, tanpa mengira sama ada mereka rakyat Thai atau tidak (keterangan lanjut sila lihat The Wall Street Journal bertarikh 16 Oktober 2008). Pada hemat saya, inilah ‘kekuatan’ Thailand, yang sukar untuk dipraktikkan di negara kita kerana ia telah ‘dimatikan’ oleh pemimpin negara sebelum ini.
Dengan sebab itu, saya tidak hairan jika pemimpin DAP pernah menidakkan keputusan Sultan Perak untuk melantik Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak selepas Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri Perak dalam PRU 12 lalu. Kontroversi ini berakhir setelah Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP dinasihati supaya tidak bersikap terlalu ultra dan menerima titah Sultan Perak.


Perlu diingatkan, penggunaan istilah Ketuanan Melayu bukan perkara baru. Ia adalah bagi menggambarkan bahawa orang Melayu adalah etnik asal dan seharusnya mendapat hak-hak istimewa berbanding kaum lain sepertimana yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan persekutuan. Saya fikir orang Cina faham makna sebenar ketuanan Melayu tetapi sengaja dipolitikkan untuk mendapatkan political mileage terutama kalangan pemimpin mereka.
Persepsi yang mengatakan jika orang Melayu adalah tuan, maka hambanya orang Cina sengaja diada-adakan. Begitu juga dengan ungkapan Hidup Melayu. Jika Melayu hidup, siapa pula yang mati?


Apa yang nyata, orang Cina sengaja memperbesarkan isu ini, walaupun mereka tahu tujuan sebenar penggunaan istilah ini. Lebih ekstrim lagi, mereka menggunakan isu ini sebagai faktor kehilangan banyak kerusi BN dalam PRU 12. Dalam memperkatakan isu yang sama, Markus Lim bersependapat dengan Soi Lek,

‘Ketika ini, berlakunya gelombang ketidakpuasan hati dalam kalangan pengundi Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional dan parti komponen seperti MCA. Bagi pengundi Cina, ketidakpuasan hati itu bertitik-tolak daripada sikap provokatif segelintir pemimpin UMNO yang melakukan pelbagai aksi seperti menghunus keris, mengeluarkan kenyataan berbau perkauman selain kegagalan kepemimpinan MCA dalam menyuarakan bantahan secara terbuka terhadap tindakan UMNO itu. Pendekatan secara berhemah yang digunakan oleh MCA nampaknya tidak begitu disenangi oleh para pengundi Cina dan MCA kini dilihat sudah tidak berpengaruh lagi’ (Markus Lim, 2007)

Justeru, saya ingatkan pemimpin-pemimpin Melayu supaya melayari laman Web parti-parti politik dan NGO-NGO Cina ini serta buletin mereka untuk menyelami betapa kiasunya mereka. Isu-isu yang menjadi sensitiviti kaum bukan hanya diperdebatkan, malah dihina dan dikeji. Saya tidak menafikan juga laman-laman pemimpin-pemimpin Melayu yang lain.


Isu ketuanan Melayu sebenarnya ditolak oleh majoriti orang Cina yang sengaja disalahfahamkan. Mewakili MCA, Ong Tee Keat ketika itu menjadi Naib Presiden, dengan nada keras meluahkan perasaan orang Cina terhadap istilah tersebut:

The phrase, ketuanan Melayu (Malay supremacy), should not be brought up any more as it creates the impression that one race is the master while the others are slaves, MCA vice-president Datuk Ong Tee Keat said. Ong said the phrase had nothing to do with the Federal Constitution and was not something that needed to be said any more considering the special position the Malays already have. For other races, ketuanan (superiority) implies the word kehambaan (slavery). The root word of ketuanan is tuan (master), and that does not give it a good meaning (The Star, 9 Mei 2008).


Kenyataan Tee Keat bertepatan dengan dengan temubual yang telah dilakukan oleh penulis sebelum ini (Temubual, 7 September 2007). Tee Keat menolak sama sekali istilah ketuanan Melayu, dengan anggapan orang Melayu adalah tuan, manakala orang Cina adalah hamba. Ini bermakna, kenyataan Soi Lek bukanlah isu baru tetapi telah dibangkitkan sebelum ini, terutama ketika Ketua Pemuda UMNO Hishamuddin Hussein menghunus keris dalam perhimpuan agong UMNO 2006 yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu.


Dalam Perhimpunan Agong UMNO 2007, Hishammuddin telah memberikan penjelasan berhubung isu ini. Beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu (orang Cina) tidak membangkitkan isu keris kerana ia merupakan sebahagian adat budaya Melayu dan bukan isu perkauman. Orang Cina diingatkan supaya “jangan mencipta musuh yang tiada dan jangan takut dengan bayang-bayang”. UMNO tidak akan melayan lagi polemik melulu mengenai keris yang masih belum reda sejak tahun lalu. Keris dianggap sebagai lambang perpaduan. Beliau turut menyindir orang Cina yang masih tidak memahami budaya Melayu setelah 50 tahun merdeka


Hishamuddin juga mengingatkan pemimpin-pemimpin bukan Melayu diingatkan supaya tidak mengungkit perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama sebelum ini. “Orang Melayu tidak pernah mengungkit apa yang bukan hak mereka sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan kepada semua,” kata beliau. Dalam isu hak-hak Melayu, Hishammuddin menjelaskan dengan berseloka: “Kita tunduk memberi hormat; Kita mengangguk mengiakan; Kita berkalis menolak sengketa; Diam jangan disangka tunduk; Mengalah jangan disangka lemah.” “Walaupun kita dituntut untuk mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, Perkara 3 Perlembagaan UMNO juga sentiasa memperingatkan kita untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu,”. Secara simboliknya, kata beliau, keris itu menjunjung lambang kekuatan dan warisan pusaka turun-temurun. Keris juga adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.

“Keris juga lambang kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik Yang di-Pertuan Agong.
“Keris ini ditempa daripada cantuman besi yang berasal daripada sebelas bilah keris negeri-negeri di Tanah Melayu. Jelas keris bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga adalah simbol kesatuan. “Masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahawa keris juga merupakan lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu.

Hishammuddin berkata, keris dikucup bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan itu, ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran. Menurutnya, keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan amanah yang diterima. “Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum-kaum lain yang bernaung di negara ini. “Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya. “Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu,”


Pengerusi MCA Petaling Jaya Utara, Datuk Dr Wong Sai Hon berkata, orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India takut dengan tindakan tersebut. "Orang Cina bertanya kalau Hishammuddin boleh mencium keris, kenapa orang Cina dan India tidak boleh mencium keris (senjata tradisional) mereka. "Badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur dan Selangor marah dengan tindakan mencium keris itu,". Dr Wong juga menegaskan BN mengalami kekalahan akibat banyak faktor. Selain isu menghunus keris, faktor lain termasuklah isu ketuk ketampi seorang perempuan Melayu dalam lokap polis. Naib presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam juga bersetuju isu keris sebagai salah satu faktor kekalahan BN dalam PRU 12. Beliau bagaimanapun, berkata, ada beberapa lagi isu yang turut menyebabkan kekalahan parti tersebut. "Isu keris itu hanya salah satu sebab, tetapi ada lagi sebab-sebab lain," katanya. (http://malaysiakini.com/news/81794).


Apa juga alasan UMNO berhubung isu keris dan ketuanan Melayu, pemimpin-pemimpin Cina sengaja memutar-belitkan isu ini. Sejarah membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berakarkan bangsa Melayu (Comber, 2007). Walaupun ada yang beranggapan bahawa orang aslilah yang menjadi penduduk asal, namun sejarah menunjukkan bahawa Malaysia yang berasal dari nama Tanah Melayu berakar umbikan bangsa Melayu. Dengan sebab itu, dalam banyak perkara, bangsa Melayu mendapat lebih keistimewaan dan keutamaan berbanding yang lain. Ini dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sejak awal-awal lagi (Haas, 1967).


Maka tidak hairanlah istilah ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hidup Melayu’ selalu digunakan. Istilah ini telah menjadi sinonim dengan UMNO. Begitu juga dengan lambang keris yang menjadi simbol bendera UMNO.


Secara mudah, ketuanan Melayu merujuk kepada suatu keadaan yang mana orang-orang Melayu dan warisan mereka diberikan kedudukan yang wajar selaras dengan kedudukan mereka sebagai bangsa atau penduduk asal negara ini. Ia sering dikaitkan dengan kedudukan orang Melayu dalam politik dan pemerintahan; sebagai pengendali utama negara. Unsur-unsur penting lain yang dapat dilihat seperti yang termaktub dalam perlembagaan adalah kedudukan dan peranan Raja-raja, peranan Islam, kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152) dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu (Perkara 153). Ini termasuk juga adat istiadat dan seumpamanya, sehinggalah membawa kepada isu Tanah Rizab atau Simpanan Melayu. Semua perkara ini telah wujud sebelum perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2006).


Saya fikir orang Cina menyedari makna ketuanan Melayu yang merujuk kepada perkara-perkara di atas, tetapi mereka sengaja mencari publisiti murahan ketika pengaruh MCA dan Gerakan mula merosot di kalangan kaum Cina yang telah beralih kepada DAP.


Ketuanan Melayu tidak hanya dikaitkan dengan aspek sejarah semata-mata, tetapi juga aspek demografi kerana secara umum jumlah suatu kelompok etnik menentukan secara langsung jumlah undi yang akan diperoleh dalam pilihan raya. Trend ini dikatakan menimbulkan kebimbangan kalangan etnik Cina kerana jumlah penduduk mereka semakin mengalami kemerosotan dari setahun ke setahun. Kebimbangan ini cukup berasas kerana mereka ingin memastikan etnik Cina kekal berpengaruh dan mengimbangi kuasa politik (Shamsul Amri Baharuddin, 2007).


Ekoran itu, kita dapati etnik Cina sentiasa membangkitkan isu Ketuanan Melayu yang berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu sendiri. Kemuncak ketidakpuasan hati ini dapat dilihat apabila Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) mendesak agar hak istimewa ini orang-orang Melayu dihapuskan pada tahun 1999.


Perlu ditegaskan, isu-isu bersifat etnisiti bukanlah suatu perkara baru. Ia telah menjadi perhatian serius orang Cina sejak dahulu lagi. Orang Cina tidak pernah selesa dengan penggunaan istilah ketuanan Melayu. Malah, Lee Kuan Yew secara terang-terangan menentang sekeras-kerasnya penggunaan istilah ketuanan Melayu lalu mengutarakan konsep Malaysian Malaysia walaupun ketika itu Singapura masih belum lagi berpisah dengan Malaysia (Ye Lin-Sheng, 2003).


Gagasan Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh Lee Kuan Yew (1998), merujuk kepada sebuah negara Malaysia untuk bangsa Malaysia. Perjuangan untuk Malaysia dan bangsa Malaysia, bukannya khusus kepada Melayu Malaysia. Ini bermakna, semua bangsa yang lahir di sini adalah sama dari segi kedudukan, taraf dan peluang mereka. Tidak ada hak-hak istimewa untuk etnik tertentu seperti hak istimewa orang Melayu. Pemikiran majoriti Cina di Malaysia adalah pemikiran Lee Kuan Yew. Keterangan lanjut juga dapat dirujuk melalui petikan berikut: “Some Chinese dispute the fact that the land was the Malay’s to begin with. Others say that it was the British who had opened the door to them, and their head start is owed to colonial policy. Yet others say that they have helped to develop the country and have contributed to its prosperity, so they have a rightful share in whatever is on offer. On the exemplifies the view is Lee Kuan Yew. On the eve of Singapore’s separation from Malaysia, he cast doubt on the whole idea that the Malays were the natives of Malaya, and by doing so implied that the Chinese had as much right to be there as the Malays. He questioned that basis of the Malay claim to Malaysia: “According to history”,” he said, “Malays began to migrate to Malaysia in noticeable numbers only about 700 years ago. Of the 39 per cent Malays in Malaysia today, about one-third are comparatively new immigrants like the secretary general of UMNO, Dato’ Syed Jaafar Albar, who came to Malaya from Indonesia just before the war at the age of more than thirty. Therefore it is wrong and illogical for a particular racial group to think that they are more justified to be called Malaysians and that the others can become Malaysian only through their favour” (Ye Lin-Sheng, 2003)


Seperti Lee Kuan Yew, MCA, Gerakan dan DAP tidak pernah bersetuju dengan pengunaan istilah ini. DAP telah memperjuangkannya dan memberikan kata dua kepada UMNO supaya menggugurkan penggunaan Ketuanan Melayu. Hatta istilah ini juga mesti keluarkan daripada buku teks Sejarah Tingkatan Lima. The so-called “Malay Dominance” or “Malay the Master Race” (Ketuanan Melayu) as claimed in Form 5 History textbook, page 108-109 (published by Dewan Bahasa & Pustaka) serves no purpose but undermines national unity in the long run if not expunged. Such claim is not only politically-incorrect and insensitive but also immoral in the context of a multiracial, multi-religious and multicultural society like ours. It certainly runs against the so-called Bangsa Malaysia concept expounded in the Vision 2020 document (dipetik daripada Laman SesawangDAP)


Bagi DAP semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi undang-undang. Tidak ada dalam perlembagaan yang mengatakan bangsa Melayu sebagai kelas satu manakala orang bukan Melayu dianggap sebagai kelas kedua. Kenyataan seperti ini tidak banyak bezanya dengan kritikan yang selalu dilemparkan oleh MCA dan Gerakan.


Pendek kata, isu-isu bersifat keetnikan memang tidak pernah habis dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Setiap kaum mahu menjadi jaguh kaum masing-masing. Politik Malaysia amat bersifat perkauman. Ramanathan (2003) menggunakan istilah perwakilan perkauman (communal). Perwakilan yang berasaskan sesuatu bangsa. Bangsa itu akan dijaga kepentingan dan hak mereka oleh perwakilan. Wakil yang layak adalah dilantik untuk menjaga kepentingan bangsa dan agama. Dengan adanya perwakilan perkauman ini, Melayu, Cina dan India, hak mereka akan terjamin. Semua golongan kaum dan bangsa akan mendapat suara di dalam badan perundangan. Kepentingan mereka akan sentiasa terjamin. Tidak ada satu kaum yang akan ditindas dan dipersia-siakan. Namun demikian, beliau turut mengatakan jika sifat perkauman ini dilaungkan secara keterlaluan, akan menimbulkan perpecahan. Misalnya, jika kaum majoriti hanya mempertahankan kepentingan bangsanya sahaja, bangsa lain akan rasa tertinggal dan ini akan mengakibatkan mereka mencari jalan lain yang mungkin melibatkan kekerasan untuk menentukan kepentingan mereka diberi perhatian yang wajar (Ramanathan 2003).


Presiden PPP, M. Kayveas pernah berkata,

…kita selalu bercakap untuk integrasi kaum, perlu bersama-sama bantu-membantu, saling bekerjasama - sama makan, sama minum dan sebagainya. Tetapi bila tiap-tiap 12 bulan sekali bila ada perhimpunan agung, MCA bercakap Mandarin, MIC pula cakap Tamil dan Melayu cakap Melayu. MIC dengan cara hidup Indianya, Umno dengan slogan Hidup Melayu, dan MCA dengan hidup Cinanya. Manakala BN dengan sekolah wawasannya. Bila ini berlaku, kita tetap akan balik ke tahap yang sama juga. MCA dengan caranya, MIC dengan caranya, dan Umno dengan caranya. Kita lihat ada tiga landasan yang berbeza. Kalau kita tetap seperti ini, sampai bila pun ianya tidak akan menjadi satu cara hidup (Siasah 31 Mac-13 April, 2006)


Menurut Lim Keng Yaik, Penasihat Parti Gerakan, hubungan etnik mutakhir ini semakin merosot. Setiap kaum memperjuangkan kepentingan etnik masing-masing. Baginya, perjuangan sebenar ialah bangsa Malaysia dan bukannya satu bangsa atau agama semata-mata (The Sun, 27 Ogos 2007).


Pendek kata, hubungan antara Melayu – Cina masih sentiasa diuji dengan persepsi yang kurang menyenangkan. Orang Melayu suka mengambil sampel kejayaan orang Cina dalam mengukur kegagalan mereka dalam bidang ekonomi. Orang Cina dipersalahkan kerana tidak membantu orang Melayu, sebaliknya mengemukakan tuntutan demi tuntutan bagi menjaga kepentingan kaum mereka sahaja. Maka tidak hairan, Enloe (1973) menyifatkan Malaysia sebagai negara nationality ethnicity, yang mana identiti kaumnya seperti Melayu, Cina dan India begitu menonjol berbanding negara lain. Keadaan di Malaysia lebih kompleks disebabkan oleh perbezaan bahasa, agama, budaya dan sentimen perkauman begitu tinggi. Mereka dipisah-pisahkan mengikut penempatan, pendidikan dan aktiviti ekonomi. Orang Cina misalnya lebih mendominasi aktiviti-aktiviti ekonomi, penempatan bandar dan terkehadapan dalam bidang pendidikan berbanding kaum pribumi Melayu.


Perkara yang dibincangkan di atas turut dipersetujui oleh Jayum A. Jawan (2007) yang mengatakan apa jua bidang kehidupan masyarakat Malaysia hari ini ditentukan oleh garisan etnik.


Selepas merdeka, usaha sepatutnya ditumpukan untuk membina satu negara bangsa. Akan tetapi, banyak tenaga telah diberikan untuk membina satu negara tetapi pada masa yang sama pelbagai tenaga juga dibenarkan untuk bersaing menegakkan banyak bangsa (i.e: kepentingan kebangsaan [satu bangsa] berlawanan dengan identiti jenis kebangsaan [banyak bangsa] dalam negara yang sama). Sejarah 1960-an sehingga kini dipenuhi dengan proses tuntut-menuntut, persaingan etnik, dan tolak ansur serta akomodasi dalam membina bangsa Malaysia. Dan kebanyakan proses tuntut-menuntut, tawar-menawar dan bertolak ansur serta berakomodasi adalah di antara Melayu dan Cina, dan kadang kala sahaja melibatkan kelompok yang kecil lagi seperti Kadazandusun dan Dayak dari Sabah dan Sarawak (Jayum A. Jawan, 2007: 5)


Kebanyakan kajian berkaitan etnisiti di Malaysia menunjukkan bahawa isu-isu etnik menjadi semakin lama semakin kompleks kerana setiap etnik bermati-matian akan memperjuangkan hak-hak dan identiti etnik masing-masing. Ini kerana negara ini ditubuhkan atas kerangka perkauman atau berasaskan etnisiti. Pemikiran rakyat Malaysia telah sebati dengan perjuangan menegakkan kepentingan etnik masing-masing dan bukannya berjuang untuk kepentingan semua etnik. Keadaan ini menjadi menyebabkan rata-rata kalangan mereka, tidak kira kumpulan mana dan latar belakang, berada pada tahap ultra kiasu.


Kata-kata Soi Lek yang mahukan perubahan adalah satu pembohongan. Soi Lek mahukan rakyat Malaysia menerima perubahan. Perubahan yang meletakkan kepentingan semua, bukan hanya satu-satu kaum sahaja. Katanya lagi, isu sekolah Cina bukan isu bangsa Cina tetapi isu nasional.

“Chinese schools shouldn’t be seen as a Chinese struggle. They’re part of the national education system. It’s a national issue.”


Dalam mengulas isu ini, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya sekolah vernakular ini ditutup. Sistem satu sekolah iaitu sekolah kebangsaan mesti diperkasakan. Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut. Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tunduk kepada ugutan ini demi survival politik.


Saya tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman saya memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina yang datang daripada Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC), menyebabkan saya terpaksa bersependapat dengan Mukhriz, walaupun ia amat pahit untuk diluahkan sebagai seorang berbangsa Cina. Kebanyakan pelajar-pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.


Saya cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan parlimen baru-baru ini. Persoalan saya, pernahkah Azmin Ali membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.


Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Saya berani memberi jaminan bahawa sebahagian besar pelajar-pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan ini. Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi.


Inilah yang dipertahankan oleh Azmin Ali yang mahukan sekolah vernakular terus diperkasakan setanding dengan sekolah kebangsaan. Pernahkah Azmin Ali pergi membuat kajian ke atas SJKC/T dan kelas-kelas peralihan yang terpaksa diwujudkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan? Berapa ramai kalangan pelajar Cina yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Jika bahasa Melayu tidak dikuasai, apakah mungkin mereka bergaul dan berkawan dengan bangsa lain seperti Melayu dan India?
Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar. Saya masih teringat kata-kata Tunku Abdul Rahman (2007), “negara ini telah diakui oleh semua kaum lain yang tinggal di sini sebagai sebuah negara yang asalnya negara Melayu. Hakikat ini akan terus diakui melainkan orang Melayu sendiri mengambil keputusan untuk menunggang terbalikkannya dan menjadikannya sebagai sebuah neraka untuk kita semua. Tidak ada sesiapapun yang membangkang usaha-usaha kerajaan untuk menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar dalam negara mereka sendiri”.

Perkhidmatan Awam: Bukan Melayu dipinggirkan?

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 25 Nov 2008

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr. P. Ramasamy menyalahkan rejim pemerintahan lama dan dasar UMNO sebagai punca wujudnya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam. Lebih ekstrim lagi, beliau mendakwa bahawa permohonan bukan Melayu untuk berkhidmat dalam sektor awam dikoyak tanpa diproses. Pemerintahan UMNO dikatakan menjadi punca ketidakseimbangan kaum dalam sektor pekerjaan negeri dan pusat.


Dalam mengulas isu ini, saya fikir UMNO tidaklah sekejam yang disangkakan. Memang, saya tidak nafikan bahawa UMNO juga patut disalahkan, perlu diperbetulkan dan berubah ke arah lebih baik, terutama isu-isu berkaitan integriti. Tetapi dakwaan mengoyakkan borang permohonan bukan Melayu amat berat. Kita perlu tahu prosedur dan undang-undang sebelum membuat dakwaan, apatah lagi cerdik pandai seperti Ramasamy yang pernah bergelar profesor semasa berkhidmat di universiti awam.


Semua sedia maklum bahawa segala permohonan perkhidmatan kerajaan diproses oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), yang kini diketuai oleh Tan Sri Ismail Adam. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan satu ketika dahulu yakni, JPA sukar merapatkan jurang antara kaum dalam perkhidmatan awam kerana orang Cina dan India kurang berminat menyertai sektor perkhidmatan awam.


Tidak banyak permohonan daripada dari bukan Melayu adalah antara faktor utama wujud jurang besar, berbanding pegawai Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) katanya, menunjukkan hanya 1.78 peratus kaum Cina dan 2.5 peratus kaum India daripada 486,802 individu yang memohon untuk menyertai sektor awam tahun lalu. Aspek yang diambil kira dalam pengambilan adalah merit dan kelayakan akademik bukannya kaum.


Kenyataan JPA ini kemudiannya disangkal oleh MCA dalam buletin mereka, The Guardian. Orang Cina mempunyai persepsi bahawa hak mereka dalam perkhidmatan awam seperti peluang mendapatkan biasiswa dan kenaikan pangkat dinafikan oleh kerajaan. Adalah tidak benar bahawa orang Cina tidak tertarik menyertai perkhidmatan awam disebabkan oleh faktor kurang minat dan gaji rendah yang ditawarkan, berbanding sektor swasta. Statistik berikut dikeluarkan oleh MCA mengenai permohonan sektor perkhidmatan awam berasaskan kaum, sebagai bantahan kepada JPA (The Guardian, Vol 6, December 2007)


Pengambilan Perkhidmatan Awam 1 Januari – 30 Jun 2007

Kaum......................................Melayu.........Cina.........India

Pemohon .................................464,000.......9,000......13,000
% ...........................................84.62%.......1.71%.....2.36%

Permohonan (jawatan)...............1,458,560.....29,607.....40,796

Panggilan termuduga....................160,401.......5,102......5,107

Hadir temuduga...........................115,103.......3,358......3,636
%.............................................80.48%........2.34%......2.54%

Berjaya.....................................18,618..........927..........639
%............................................81.35%........4.05%.......2.79%


Sumber:. The Guardian, Vol 6, December 2007, Kuala Lumpur: MCA Publicity Bureau. 2007.

Saya tidak pasti statistik ini benar atau tidak tetapi, menurut MCA, jurang permohonan ke perkhidmatan awam berasaskan bangsa amat besar (Musa Ile Chong dan Christina Seah, 2007). Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus. Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah 3 peratus.


Kajian bekas Pemuda MCA Liow Tiong Lai seterusnya pula menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia-belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel.


Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Inilah yang saya istilahkan sebagai ultra kiasu.


Daripada kajian ini, apa yang saya dapat simpulkan adalah, trend sengaja menonjolkan yang negatif atau hanya melihat perkara yang negatif, dan sengaja menyembunyikan perkara yang positif semakin menjadi-jadi hari ini, ibarat menangguk di air keruh. Mengambil kesempatan di atas kelemahan politik Melayu hari ini. Lebih malang lagi, kerajaan yang diterajui UMNO jarang bertegas, kerana dipimpin oleh mereka yang kurang tegas dan takut kedudukan tergugat.


Apabila tuntutan ekstrim dikemukakan, maka jawapannya setiap kali kedengaran adalah ia akan dikaji. Malangnya, kajian tidak dibuat-buat. Sedangkan orang lain terus membuat kajian dan mengkaji perkara yang negatif dan menyembunyikan yang positif. Yang negatif sengaja ditonjolkan dan diwar-warkan menjadi satu isu besar dan meletup ibarat bom sedia untuk meledak. Bila sesuatu isu itu meletup dan meledak, maka terkial-kiallah pemimpin UMNO untuk mencari jawapannya. Inilah taktik dan strategi yang digunakan pada hari ini untuk mendapatkan sesuatu yang telahpun mereka dapat. Tetapi mereka sengaja cuba tutup, buat-buat tak dapat, supaya mereka terus dapat dan dapat lebih lagi.


Sedangkan kita sedia maklum, kerajaan telah memberi dan membuka peluang kepada bukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Jawatan-jawatan tinggi IPTA-IPTA dan perkhidmatan awam yang lain telah dibuka. Kita telah lihat muka-muka bukan Melayu berada di sana. Jika bilangan bukan Melayu yang berada pada posisi tinggi tidak ramai, itu adalah adil namanya, sebab peratusan mereka kecil berbanding orang Melayu. Pokoknya, ruang dan peluang telah dibuka oleh kerajaan.


Alasan lain yang boleh saya perturunkan di sini adalah,

(i) menurut kajian, penyertaan kaum Cina tidak bertambah kerana mereka lebih gemar terbabit dalam sektor korporat atau perniagaan sendiri kerana ia dilihat sebagai satu kerjaya yang lebih baik berbanding makan gaji dalam sektor awam sekadar cukup makan

(ii) kenaikan pangkat dalam sektor awam agak sukar disebabkan oleh bilangan kakitangan Melayu agak ramai

(iii) orang Cina berjiwa besar, bangga dengan tamadun mereka, bongkak (Comber, 2007) dan lebih suka berdikari. Pendek kata, penglibatan dalam sektor perniagaan sendiri telah menjadi darah daging mereka. Maka tidak hairan jika mereka menguasai lebih 70 peratus ekonomi persendirian seperti di Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia (Amy Chua, 2003),

(iv) awal-awal lagi orang Cina berpersepsi adalah sukar untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana sektor ini dibolot oleh orang Melayu atau persekitaran Melayu. Jika berjaya pun mendapatkan sesuatu jawatan itu, terlalu sukar untuk mendapat kenaikan pangkat dan

(v) orang Cina biasa tidak selesa bekerja dalam persekitaran Melayu, kerana 'up-bringing' atau sosialisasi politik mereka amat berbau perkauman seperti pendidikan, tempat tinggal, media dan sebagainya.


Keadaan ini menyebabkan, majoriti orang Cina (India), lebih selesa bergaul sesama mereka berbanding bangsa lain. Inilah fakta yang mesti dihadapi dan ditangani apabila kita gagal mengintegrasikan dan mengasimilasikan bangsa yang berhijrah.


Tuntutan yang lebih ekstrim lagi, MCA terus mendesak mahukan sektor perkhidmatan awam mestilah mencerminkan populasi kaum iaitu penguasaan 25 peratus orang Cina (The Guardian, Vol 6, December 2007). Persoalannya, kenapakah orang bukan Melayu tidak melihat isu yang sama dalam bidang ekonomi (DEB) seperti yang telah dibincangkan sebelum ini? MCA, DAP dan Gerakan mahukan DEB dihapuskan sedangkan pemilikan ekuiti bumiputera (Melayu) baru mencapai 18 peratus (45 peratus mengikut kajian Lim Teck Ghee), berbanding populasi mereka sebanyak 65 peratus. Kenapakah MCA tidak membangkitkan mengenai agihan pemilikan ekuiti ekonomi negara berasaskan formula peratusan populasi kaum, 65 peratus bumiputera, 25 Cina dan selebihnya lain-lain kaum, seperti yang dituntut dalam perkhidmatan awam?


Persoalan yang perlu difikirkan bersama, jika bilangan orang Melayu ramai dalam perkhidmatan awam, siapakah pelanggan-pelanggan mereka? Sudah tentu pelanggan-pelanggan mereka adalah orang bukan Melayu (Cina) yang terlibat dalam sektor perniagaan. Misalnya, dalam perkhidmatan sektor pembinaan dan perumahan. Siapakah yang memberikan rasuah kepada kakitangan awam Melayu untuk mendapatkan dan meluluskan sesuatu projek sama ada berskala kecil atau besar? Sudah tentu yang memberi rasuah adalah orang Cina dan menerima rasuah adalah kakitangan awam. Rasuah yang diterima hanya beberapa ribu ringgit, sedangkan projek yang diluluskan mendapat keuntungan puluhan dan ratusan juta ringgit. Dalam hal ini, siapakah yang lebih beruntung? Sudah tentu bukan Melayu. Melayu hanya kaya sehari, sedangkan orang Cina kaya seumur hidup. Kenapa perkara positif win-win tidak dilihat dan tidak ditonjolkan?


Kita lihat pula berapa ramai orang Melayu diambil bekerja dalam sektor perniagaan orang Cina. Sepertimana yang saya katakan dahulu, kalau adapun orang Melayu diambil bekerja hanya untuk melariskan perniagaan sahaja, terutama dalam sektor perkhidmatan dan pemakanan. Misalnya, perbankan Islam, orang Islam ’dipergunakan’ untuk mendapatkan pelanggan-pelanggan Melayu Islam. Begitu juga dalam sektor pemakanan. Orang Melayu dijadikan sebagai simbol untuk melariskan jualan.


Tidak kurang juga orang Melayu yang dilantik menjadi pengerusi syarikat ini dan itu yang dipunyai oleh orang Cina. Perlantikan dibuat hanya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan semata-mata. Orang Melayu dipergunakan sebagai puppet (patung) untuk mendapatkan keuntungan berjuta dan berbilion ringgit. Sedangkan kita tahu, orang Melayu yang dilantik sebagai pengerusi dalam syarikat tersebut itu hanya dibayar elaun beberapa ribu ringgit sahaja.


Pengalaman saya juga berurusan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam sektor hartanah dan perumahan menunjukkan bahawa PKNS tidak pernah terlibat langsung dalam membangunkan sektor tersebut secara langsung. Semua tanah dan projek yang diperolehi diswastakan kepada syarikat-syarikat Cina seperti kontraktor, arkitek dan juruteranya. Hanya vendornya sahaja yang mungkin ada beberapa syarikat bumiputera. Justeru, saya tidak hairan jika isu PKNS hari ini menjadi perbincangan hangat. Hakikatnya, memang PKNS ambil untung atas angin. Yang kaya raya ialah syarikat-syarikat Cina yang mendapat projek penswastaan tersebut. Kalau tidak percaya tanyalah pemangku Pengurus besar PKNS ini iaitu Low Siew Moi dan bekas pengurus besarnya sebelum ini.


Saya hairan kenapa selama ini PKNS tidak menggunakan peluang-peluang sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan untuk membangunkan umat Islam (Melayu)? Saya menyeru kepada PKNS supaya bertaubat. Jangan asyik melenting apabila ada bukan Melayu dilantik menjawat jawatan tinggi di sana, tetapi muhasabahlah terhadap diri sendiri, apakah yang telah dilakukan selama ini untuk membangun dan menyelamatkan umat Islam?


Justeru, bagi saya, penurunan peratus bukan Melayu dalam sektor awam tidaklah mengejutkan kerana memang sudah menjadi budaya Cina mereka tidak berminat menyertai sektor awam, apatah lagi sektor keselamatan seperti polis dan tentera. Kerana ia sudah menjadi budaya orang Cina bukan sahaja kiasu (takut kalah) tetapi juga kiasi (takut mati). Justeru, bagi saya tuntutan DAP yang akan disokong oleh MCA dan Gerakan tidak lama lagi, sekadar untuk mengaburi mata masyarakat agar tuntutan mereka yang lain sebenarnya dipenuhi, bukan kerana jumlah bilangan bukan Melayu yang tidak diproses.


Satu lagi kebimbangan orang Cina ialah mengikut statistik kadar populasi (kadar kelahiran) orang Melayu semakin bertambah berbanding orang Cina yang semakin lama semakin menurun disebabkan oleh kadar kelahiran yang rendah. Ini bermakna, hak-hak Melayu menjadi semakin banyak dan bertambah, manakala hak-hak orang Cina pula semakin berkurangan. Sekali lagi orang Cina akan menjadi mangsa. Justeru, pelbagai tuntutan mesti dikemukakan (Lee Boon Kok, Temubual, 8 Januari 2007).


Saya tidak menafikan campur tangan politik UMNO dalam perkhidmatan kerajaan, tetapi tidaklah sampai sanggup mengoyakkan permohonan tersebut. Inilah pemikiran ultra kiasu yang selalu saya bangkitkan kalangan pemimpin dan pengikut DAP yang mendakwa mereka adalah jaguh memperjuangkan semua kaum di negara ini atau parti untuk semua kaum. Hakikatnya, parti ini tetap parti Cina yang ultra.

PERLUKAH KITA MENCONTOHI OBAMA ATAU US?

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 17 dan 18 Nov 2008

Setelah mendengar dan membaca dolak-dalih Dato’ Tan Lian Hoe yang menyalahkan wartawan (Utusan Malaysia terutamanya) dan orang lain kerana memutar-belitkan kenyataannya sebelum ini, saya terus terpanggil untuk terus menulis. Apatah lagi isu pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus (DEB) masih belum reda setelah berkali-kali didesak oleh MCA, DAP dan Gerakan agar ia dihapuskan.


Terbaru, timbul pula cerita lama yang secara sengaja dibangkitkan semula oleh ketiga-tiga parti politik Cina ini. Mereka mahukan negara kita meniru atau mencontohi trend yang berlaku di Amerika Syarikat yang memilih Barack Hussein Obama, seorang pemimpin berkulit hitam menjadi presiden negara tersebut, memecah tembok perkauman antara kulit putih dan kulit hitam selama lebih 200 tahun.


MCA, DAP dan Gerakan mahukan negara kita turut memecah tembok perkauman ini dengan melantik bukan Melayu sebagai ketua negara atau ketua syarikat-syarikat kepunyaan kerajaan atau kerajaan negeri seperti GLC (kerajaan pusat) dan PKNS (kerajaan negeri). Apa yang saya lihat, kerajaan telah banyak membuka ruang dan peluang sebegini, cuma saya belum melihat respon syarikat-syarikat yang diterajui oleh bukan Melayu membuka ruang dan peluang kepada orang Melayu. Kalau ada pun hanyalah sebagai syarat untuk mengaburi mata orang Melayu sahaja atau melariskan perniagaan mereka dalam sektor makanan dan perkhidmatan. Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak diberikan kesempatan masa untuk bersembahyang dan solat jumaat.


Permainan politik ini membuatkan saya teringat kepada kata-kata bekas Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock yang meluahkan pandangannya terhadap seorang pemimpin Melayu seperti yang dinukilkan oleh teman seangkatannya, Thio Chan Bee. Thio dalam artikel bertajuk “The Foundation of Racial Harmony”, merakamkan perbualan Tan Cheng Lock dengan seorang pemimpin Melayu ketika MCA hendak ditubuhkan.


“Orang Cina sudah mempunyai kuasa ekonomi, manakala orang Melayu mempunyai kuasa politik. Jika orang Cina menolong orang Melayu membantu meningkatkan status ekonominya, sudah pasti orang Melayu akan berkongsi kuasa politik dengan orang Cina. Jika orang Cina mahu memberikan kerjasama dengan orang Melayu, orang Melayu pasti mengalu-alukan kerjasama itu. Sebaliknya, jika orang Cina bertekad untuk menentang orang Melayu, sudah tentu secara spontan orang Melayu akan membalas tindakan tersebut”.


Mendengar sahaja kata-kata itu Tan Cheng Lock berasa gembira dan mengumumkan penubuhan MCA dengan matlamat utama untuk menggalakkan dan mengekalkan hubungan harmoni antara kaum di Malaya. Asas hubungan kerjasama telah disepakati (Bulletin MCA, The Guardian. Vol 2. June 2006: 5). Dengan tertubuhnya MCA juga, semakin ramai orang Cina tidak dihantar balik ke negeri asal mereka di China.


Inilah bentuk pakatan politik ketika yang dikatakan telah berjaya menyatukan kaum Melayu-Cina ketika itu. Orang Melayu berpegang kepada prinsip “more power more say”, manakala orang Cina dengan budaya “more money more say”. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama, amat optimis dengan formula ini dan pernah meluahkan kata-kata yang sama, 'let malay handle the power, the Chinese take of the business' (Comber, 2007). Tunku juga merasakan formula ini akan membawa kejayaan kepada Tanah Melayu dan ia perlu dikekalkan.

Kenyataan ini turut diperakui oleh Comber (2007: xxii) yang memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 yang menyebut bahawa “orang-orang Melayu telah memperolehi kuasa politik untuk diri mereka sendiri. Orang-orang Cina dan India telah memenangi kuasa ekonomi”.


Namun, keadaan berlaku sebaliknya. “Formula” Tunku ini semakin meretakkan hubungan baik antara Cina-Melayu kerana orang-orang Cina tidak mahu mematuhi perkara yang telah dipersetujui itu. Orang-orang Cina lebih terpengaruh dengan kempen “Malaysia untuk orang-orang Malaysia atau Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh PAP sebelum itu yakni konsep sama rasa dan sama rata. Setelah ekonomi dikuasai, PAP juga mahukan jawatan tertinggi negara turut dibuka kepada mereka, termasuk jawatan Perdana Menteri.


Formula Tunku ini ditentang oleh Dr. Mahathir Mohamed ketika itu. Dr. Mahathir mengkritik secara terbuka terhadap Tunku Abdul Rahman dengan melabelkan Tunku sebagai “Chinese lover”. Penguasaan kuasa ekonomi dan kuasa politik mengikut garis kaum ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, malah akan merumitkan lagi keadaan pada masa akan datang.


Hari ini, apa yang nyata, formula ini tidak boleh diterima pakai. Keadaan sudah jauh berubah dan jauh berbeza. Menurut Lee Boon Kok (temubual, 8 Januari 2007), kata-kata biarlah orang Melayu memegang kuasa politik dan orang Cina memegangkan kuasa ekonomi sudah tidak relevan lagi. Orang Cina mahu lebih daripada itu. Mereka bukan hanya mahukan kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik. Dengan adanya kuasa politik, barulah kegiatan ekonomi boleh berkembang dan berjalan dengan lancar.


Orang Cina tidak akan berhenti menuntut dan mendesak selagi tidak wujud konsep sama rata dan sama rasa. Melalui sistem perkongsian kuasa dengan BN, kuasa juga mereka telah perolehi, tetapi mereka terus meminta lebih kuasa. DAP terus membangkitkan bahawa jawatan menteri kewangan, malah jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, perlu dibuka kepada orang Cina. Begitu juga desakan, jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk IPTA dan sektor perkhidmatan awam. Orang Cina terus mendesak agar jawatan-jawatan ini diberikan kepada mereka selain dibolot daripada orang Melayu. Pendek kata, apa yang dirasai oleh orang Melayu, mesti juga dirasai oleh orang Cina.


Inilah sifat kiasu atau mahu sentiasa menang (takut kalah) yang mula bersarang pada generasi hari ini. Sifat kiasu ini adalah baik jika digunakan pada tempatnya yang betul. Tetapi dalam konteks yang berlaku masa kini, sifat ini berlaku dalam keadaan yang amat menakutkan. Sekadar mempunyai kuasa ekonomi tidak cukup, ia mesti disertai dengan kuasa politik, barulah boleh mendapat segala-galanya.


Saya tidak menafikan sumbangan orang Cina terhadap perkembangan ekonomi negara kita. Tanpa orang Cina, Malaysia tidak seperti adanya pada hari ini. Jika dicabut semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur sahaja, kita dapat lihat bagaimana hodohnya wajah Kuala Lumpur seolah-olah seperti berada pada zaman pra-merdeka. Saya fikir semua orang mengakui bahawa orang Cina telah memberikan sumbangan yang begitu besar terhadap perkembangan dan kegiatan ekonomi negara ini.


Namun, apa yang saya persoalkan adalah tuntutan yang melampaui batas seperti kaduk naik junjung atau seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Lihatlah realiti sejarah dan keadaan sebenarnya Malaysia.


Kita perlu ingat, keadaan di Amerika Syarikat berlainan dengan keadaan kita. Begitulah dengan sejarahnya. Malaysia bukan Amerika Syarikat dan Amerika Syarikat bukan Malaysia. Mengambil contoh Amerika Syarikat, adalah pemikiran ultra kiasu yang bahaya dalam politik di Malaysia. Inilah akibatnya apabila masih ramai warganegara buta sejarah, sepertimana yang disebut oleh Lian Hoe.


Lian Hoe yang tampil mempertahankan diri, mengatakan bahawa mereka yang mempolitikkan ucapannya sebagai buta sejarah dan mempunyai mentaliti kelas ketiga. Selaku seorang pengkaji, saya terus mencari biodata Lian Hoe untuk melihat kepakaran bidang beliau. Setelah diselidiki maka barulah saya tahu bahawa beliau memiliki ijazah pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, pernah menjadi guru dan penolong kanan sekolah sebelum bergiat secara aktif dalam politik. Bermakna beliau bukanlah pakar bidang sejarah.


Seorang pakar adalah mereka yang mengkhusus dalam bidang diceburi dengan mendapat ijazah sarjana dan doktor falsafah. Apatah lagi bidang antara bahasa Melayu dan sejarah agak jauh berbeza. Trend buta sejarah atau sengaja membutakan sejarah mula berleluasa dalam masyarakat bukan Melayu hari ini. Dunia sudah terbalik. Golongan pakar bercakap sesuatu diluar kepakarannya. Manakala yang pakar tidak bercakap tentang kepakarannya. Ini yang disebutkan sebagai pakar atau profesor kangkung. Budaya merujuk pakar sudah tidak berlaku lagi. Hari ini, semua orang mahu mendapatkan keuntungan politik dan menjadi jaguh, maka bercakaplah mereka walaupun terkeluar daripada bidang mereka. Dengan harapan, mudah-mudahan apa yang dikeluarkan itu dapat menambah undi dan terus memegang kuasa.


Keadaan menjadi semakin buruk apabila ianya disokong oleh sistem pendidikan perkauman yang tidak banyak membantu mencelikkan mereka yang buta sejarah. Apa yang wujud adalah, yang buta sejarah terus menjadi buta. Manakala yang tidak buta, buat-buat buta, sehingga menjadikan kenyataan-kenyataan yang dihamburkan amat pahit untuk diterima oleh mereka yang faham sejarah. Apatah lagi dalam kes Lian Hoe (Gerakan), Liow Tiong Lai (MCA) dan Lim Kit Siang (DAP), yang saya fikir sengaja membutakan sejarah.


Semua ini berlaku disebabkan kita gagal melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasional yang tinggi. Apa yang ada hari ini ialah rakyat yang mempunyai semangat perkauman yang amat menebal. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan perkauman yang terus-menerus dibiarkan terasing daripada arus perdana.


Secara umumnya, terdapat dua jenis kumpulan bukan Melayu di negara ini berasaskan pendidikan perkauman. Dalam hal ini, saya hanya mengambil contoh kumpulan orang Cina sahaja yang mewakili 26 peratus keseluruhan penduduk, yakni berjumlah 6.5 juta orang, selaku majoriti kedua terbesar.


Kumpulan pertama orang Cina, mewakili 85-90 peratus, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/ menonton media Cina. Rata-rata berpendapat bahawa hanya sekolah Cina sahaja yang dapat mengekalkan kecinaan mereka. Kumpulan ini kebanyakan tidak bergantung kepada kerajaan. Mereka banyak berdikari dengan menjalankan perniagaan persendirian.


Manakala, selebihnya mewakili kumpulan kedua, 10-15 peratus, adalah kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris, yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary. Kumpulan kedua ini banyak mensosialisasikan diri mereka dengan persekitaran Melayu, berbanding majoriti kumpulan satu hanya mensosialisasikan diri mereka dengan kelompok Cina sahaja.
Melalui kajian yang saya lakukan, kebanyakan di kalangan mereka langsung tidak mempunyai kawan berbangsa Melayu, apatah lagi untuk bergaul antara satu sama lain. Pendek kata majoriti hidup dalam kepompong dan tempurung mereka sahaja. Proses sosialisasi ini telah berlaku sekian lama dalam kesemua bidang, ekonomi, politik, sosial, media dan sebagainya. Akibatnya, kita hanya berjaya melahirkan rakyat yang hidup dalam kepompong perkauman, hanya meletakkan kepentingan bangsa atau etnik di hadapan, dengan mengenepikan kepentingan nasional. Tidakkah sepatutnya dalam sebuah negara berbilang kaum, kepentingan nasional mesti diletakkan ke hadapan berbanding dengan kepentingan etnik?

Timbang Politik Berasaskan Keadilan

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Utusan Malaysia, 18 Nov 2008

Kenapakah setelah lebih daripada 50 tahun merdeka kita masih gagal untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang meletakkan kepentingan nasional di hadapan? Inilah perkara yang mesti dikaji dan diuji oleh pemimpin-pemimpin hari ini agar jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan atau sengaja melupakan kepentingan masa hadapan atau kepentingan negara secara keseluruhan. Kenapakah kita tidak belajar daripada negara jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang berjaya menanamkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi kalangan rakyat mereka berbilang kaum?


Tidakkah kita belajar daripada pengalaman apa yang berlaku di Singapura? Setelah sebuah negeri Melayu terlepas kepada tangan bukan Melayu, apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu di sana? Terbelakang nasib orang Melayu? Adakah orang Melayu mendapat tempat dalam percaturan kuasa politik?


Menurut Lily Zubaidah (2001), yang membuat kajian mengenai nasib Melayu di Singapura, mengatakan bahawa orang Melayu semakin tidak mendapat tempat di bawah kerajaan PAP yang diperturunkan oleh Lee Kuan Yew. Orang Melayu tidak lagi diberikan tempat seperti dahulu. Kalau ada pun tempat diberikan adalah kalangan Melayu yang telah cair sifat keMelayuan dan keIslamannya.


Kepimpinan Cina di Singapura tidak lagi mempercayai orang Melayu di sana. Dengan sebab itu, mereka terus didiskriminasikan, walaupun dinafikan sendiri oleh Melayu Singapura yang mahu menjaga periuk nasi masing-masing. Namun, perilaku mereka menunjukkan segala-galanya. Orang Melayu langsung tidak dapat tempat untuk memegang jawatan tinggi dan kritikal dalam perkhidmatan seperti ketua tentera, polis, pilot, imigresen dan sebagainya.


Saya begitu teruja apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong diajukan oleh wartawan persoalan akan pandangan beliau mengenai perkembangan politik di Amerika Syarikat berkaitan kejayaan presiden Obama. Lebih lunak sedikit daripada bapanya, Lee mengeluarkan kenyataan bahawa satu hari nanti orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri di Singapura. Persoalannya, bila? Sama ada ia akan menjadi realiti atau tidak hanya Tuhan yang tahu. Keadaan hari ini yang berlaku sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita bahawa proses ke arah itu masih terlalu jauh disebabkan oleh sikap ultra kiasu yang amat menebal.


Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sikap akomodasi yang tinggi. Selain daripada isu penerimaan orang Cina sebagai warganegara (Jus Soli), orang Melayu juga sanggup melepaskan sebuah negara Melayu iaitu Singapura kepada orang Cina dalam keadaan terpaksa. Namun, setelah orang Cina mendapat negara tersebut, mereka tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Malah menaruh syak wasangka atau persepsi yang kurang menyenangkan. Walaupun negara ini mendakwa mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa, nyata sekali diskriminasi amat jelas dan nyata terhadap orang Melayu.


Orang Cina Singapura tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Pendek kata, proses peminggiran orang Melayu berlaku dalam hampir semua aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, budaya dan sejarah (Lily Zubaidah, 2001). Saya agak hairan bagaimana Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu begitu berani menyindir Malaysia dengan mengatakan orang Cina dipinggirkan dalam arus perdana kepemimpinan negara.


Justeru, bagi saya, membandingkan Barack Hussein Obama, pemimpin kulit hitam yang berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat adalah contoh yang amat dangkal dan amat ultra kiasu. Inilah politik kotor yang sentiasa dimain-mainkan untuk menggugut kepemimpinan hari ini. Sejarah kita berbeza sejarah Amerika Syarikat. Kejayaan Obama masih terlalu baru. Kita jangan terlalu yakin, terutamanya umat Islam yang meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap Obama menggantikan Bush yang dianggap sebagai dajjal.


Jika Obama beragama Islam, saya tidak yakin beliau pergi lebih jauh sehingga setakat ini. Faktor peribadi beliau turut membantu. Beliau bukanlah dalam kategori kulit hitam tulen seperti kulit hitam di Afrika. Ibunya adalah rakyat Amerika Syarikat berkulit putih. Cuma bapanya sahaja berkulit hitam daripada Kenya. Pendek kata, Obama adalah campuran darah kulit putih dan kulit hitam. Salah satu sokongan yang diperolehi juga disebabkan beliau secara terang mengaku berpegang kepada agama kristian. Tidak ketinggalan, beliau mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin dan korporat-korporat Yahudi antarabangsa.


Saya bimbang umat Islam akan kecewa suatu hari ini jika terlalu bergantung harapan kepada Obama. Tunggu dan lihat. Apa pun saya boleh katakan, jika Obama beragama Islam, berkulit hitam tulen, dan tidak bersikap lunak terhadap Yahudi, jangan harap dia boleh menjadi presiden Amerika Syarikat. Inilah sejarah politik yang mesti difahami.


Persoalan saya, kenapa DAP, Gerakan dan MCA membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat? Kenapa tidak bandingkan Malaysia dengan negeri China atau India yang lebih bersifat ketimuran? Pada saya, DAP, Gerakan dan MCA sekadar mengambil kesempatan dalam apa jua ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang selama ini tidak didapati.


Saya ajukan persoalan ini kepada mereka untuk dijawab, bolehkah Cina Muslim atau India Muslim menjadi Perdana Menteri di negara China dan India, sedangkan mereka daripada satu bangsa yang sama. Saya memberikan jawapan terlebih dahulu, jauh panggang dari api. Justeru, membanding Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah sikap yang amat kiasu atau ultra Cina yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang telah tinggal di tanahair tercinta ini sekian lama.


Saya masih beranggapan baik bahawa orang Melayu boleh atau akan menerima orang Cina sebagai perdana menteri atau timbalan, jika orang Cina itu beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu termasuk, fasih berbahasa Melayu dan lain-lain lagi.


Kenapa hari ini orang Melayu masih agak berat hati untuk menerima orang bukan Melayu untuk diletakkan pada hiraki yang tertinggi dalam kepemimpinan negara dan organisasi? Berbanding dengan kenapa rakyat Thai boleh menerima Thaksin sebagai ketua negara mereka suatu ketika dahulu walaupun Thaksin mempunyai darah keturunan Cina yang amat ketara? Jawapannya, kerana Thaksin beragama buddha, sama seperti orang Siam yang lain. Perawatakan Thaksin tidak lagi kelihatan sebagai orang Cina, tetapi lebih Siam daripada orang Siam. Thaksin mempunyai semangat patriotisme Thai yang amat tinggi. Sebab itu Thaksin berjaya. Namun keadaan di Malaysia begitu jauh berbeza, majoriti bukan Melayu langsung tidak mahu dikaitkan atau diasimilasikan langsung dengan budaya dan cara hidup orang Melayu. Dengan sebab kebudayaan kebangsaan gagal mencapi matlamatnya.


Persoalan saya kepada MCA, Gerakan dan DAP, berapa ramai orang Cina hari ini yang boleh menguasai bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu dengan baik? Berapa ramai wakil-wakil rakyat Cina sanggup memakai songkok atau baju Melayu ketika ada majlis rasmi seperti persidangan parlimen? Inikah sikap perdana menteri yang kita mahukan? Jika inilah sikap yang ditonjolkan, jangan harapkan mereka mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.


Hari ini seolah-olah amanat Tunku dan Cheng Lock sudah tidak relevan lagi. Orang Cina tidak hanya menuntut kek ekonomi dan kek kuasa yang lebih besar. Majoriti mereka berpendapat bahawa DEB sudah tidak relevan lagi. Lupakah kita kepada bumiputera Sabah dan Sarawak? Tidakkah mereka lebih berhak untuk menuntut, sepertimana tuntutan mereka agar jawatan Naib Presiden UMNO hendaklah diperuntukkan kepada bumiputera UMNO Sabah?


Saya cukup bersetuju dengan idea ini, agar politik kita tidak mengesampingkan Sabah dan Sarawak yang telah dijemput menyertai Malaysia sekian lama. Kita sedia maklumkan bahawa keadaan di sana masih kurang membangun jika dibanding dengan Semenanjung. Justeru, jika tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional atau jawatan dalam GLC serta perkhidmatan awam, diajukan kepada kerajaan, yang lebih berhak mendapatkannya tetapi adalah bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya yang lain.
Inilah hakikat politik berunsurkan keadilan yang perlu dikaji dan dinilai dengan serius oleh bukan Melayu. Keadilan bukan bermakna sama rata sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Apakah yang dimaksud konsep adil dalam konteks bumiputera Sabah dan Sarawak. Pertama, mereka bukan pendatang. Kedua, mereka dijemput menyertai Tanah Melayu seterusnya membentuk Malaysia. Ketiga, keadaan di sana masih mundur berbanding Semenanjung. Keempat, kemiskinan tegar di sana masih begitu banyak berbanding dengan Semenanjung dan sebagainya.


Sebenarnya, banyak lagi faktor yang boleh diberikan. Justeru, saya percaya, mesti ada rasionalnya kenapa kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masih mahu DEB terus disambung semula dalam versi baru. Mungkin sudah ada kesedaran bahawa, ianya perlu dilaksanakan secara lebih telus agar mereka yang benar-benar layak sahaja yang dibantu, bukannya memperkayakan segelintir kroni dan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini. Matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.


Kita perlu mengambil pengajaran kata-kata seorang pengkaji barat seperti Leon Comber (2007) yang menegaskan, jika semangat DEB diamalkan sejak dulu, tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Tetapi adalah jelas bahawa semua ini banyak bergantung kepada cara bagaimana dasar itu ditafsirkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia. Era selepas DEB dilaksanakan menandakan titik permulaan dalam lipatan sejarah perhubungan Melayu-Cina.


Sementara bagi orang Cina pula, sebaik sahaja DEB diwujudkan, isu ini terus menjadi fokus utama dan perbahasan hangat tanpa kesudahan. Kebanyakan tulisan penyelidik dan cendekiawan Cina (Kua Kia Soong, 1990, Thock Ker Pong, 2005, Ye Lin-Sheng, 2005 dan lain-lain) banyak mengkritik DEB, apatah lagi apabila tempohnya telah tamat. Jarang yang mahu melihat kebaikan yang diperolehi daripada dasar ini, walaupun tidak dinafikan kelemahannya akibat tidak diuruskan dengan jujur ikhlas.


Menurut Faaland (2005: 165-166), daya pendorong umum sikap orang Cina terhadap DEB, seperti dibayangkan oleh parti-parti politik mereka iaitu, DAP, MCA dan Gerakan, adalah amat jelas sekali. Meskipun ada kelainan dari segi perinciannya, mereka menyokong objektif pembasmian kemiskinan DEB, kerana ini akan turut memberi manfaat kepada orang Cina yang miskin di kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di Kampung-Kampung Baru, di mana terdapat orang Cina yang berada dalam kemiskinan tegar. Tetapi kebanyakan daripada mereka lebih suka merobohkan objektif penstrukturan semula DEB. Objektif ini dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan tidak adil. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dianggap menjadi penyebab kepada penghakisan kepentingan masyarakat Cina (Thock Ker Pong, 2005: 89).


Perlu ditegaskan, DEB memang tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. DEB adalah daging UMNO. UMNO dan DEB tidak banyak bezanya. Justeru, memansuhkan DEB samalah seperti memansuhkan UMNO kerana DEB ibarat anak UMNO (Faaland et al, 2005: 184).
Sama juga seperti menghapuskan sekolah Cina seolah-olah mahu menghapuskan orang Cina. Jika DEB anak UMNO, maka Sekolah Cina adalah anak orang Cina. Perjuangan mempertahankan Sekolah Cina adalah hidup mati orang Cina (Lee Boon Kok, temubual 7 Januari 2007). Keadaan menjadi semakin rumit apabila sistem pendidikan sebegini terus terbawa-bawa sehingga peringkat institusi pengajian tinggi. Sekolah Cina telah berkembang menjadi Universiti Cina. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) dan banyak IPT Cina yang lain. Mengikut statistik yang saya perolehi, hampir seratus-peratus pelajar di IPT tersebut adalah orang Cina. Ini tidak termasuk Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (AIMST) yang dipunyai oleh MIC dan tuntutan yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik bumiputera Sabah dan Sarawak.


Benar, saya tidak nafikan bahawa dasar universiti-universiti yang disebutkan tadi, mengamalkan dasar terbuka untuk sesiapa sahaja memasukinya. Tetapi oleh kerana 'trade mark' itu adalah sebuah universiti Cina, adalah sukar untuk menarik bangsa lain untuk memohonnya.


Justeru, rakyat Malaysia mesti bertindak berasaskan prioriti bukan emosi. Membanding keadaan Malaysia dengan keadaan Obama di Amerika Syarikat adalah sifat ultra kiasu yang mesti dijauhi. Apa yang penting ialah rakyat Malaysia mesti berfikir berasaskan kepentingan berikut:

(i) meletakkan kepentingan nasional di hadapan berbanding kepentingan etnik,

(ii) mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan bangsa,

(iii) mengutamakan kepentingan masa depan, berbanding kepentingan masa kini, dan

(iv) mengutamakan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara.


Semua kepentingan yang diperjuangkan mesti berpandukan kepada sejarah negara, kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan yang telah dipersetujui secara bersama, bukannya mengikut emosi dan rasis etnik masing-masing.