Wednesday, October 7, 2009

1 MALAYSIA MENEPATI KEHENDAK ISLAM

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 17 Mei 2009

Agama Islam adalah agama yang satu, satu Tuhan (Allah SWT), satu umat, satu kiblat (kaabah), satu syariat, satu Nabi (Khatamul Anbiya), satu Quran, satu bahasa (Arab) dan lain-lain lagi. Semuanya bersumberkan satu bagi memastikan umat Islam bersatu membesarkan Allah SWT yang satu. Berbekal dengan satu inilah, sinar satu Islam berjaya memancarkan cahaya ke seluruh pelusuk dunia merentas batasan bangsa, warna kulit, darjat dan sebagainya. Hari ini, umat Islam telah melakar sejarah, berada di tangga kedua penduduk teramai di dunia yakni menghampiri 1.5 bilion, walaupun baru berusia 1400 tahun. Agama Kristian masih di tangga teratas dari segi jumlah penduduk dunia sekitar dua billion. Angka ini tidak menghairankan kerana Kristian telah menapak selama lebih 2000 tahun. Begitu juga dengan agama Hindu dan Buddha yang lebih lama daripada itu.


Agama Islam adalah agama yang masih muda berbanding dengan agama-agama lain dari segi usianya. Pada hemat saya, tidak lama lagi umat Islam akan menjadi penduduk terbesar dunia, berdasarkan kepada sambutan masa kini dan sebelum ini. Daya tarikan Islam tidak lain bermula dengan satu kalimah Islam itu sendiri (syahadah). Satu untuk semua, semua menyembah yang satu. Orang yang paling mulia, adalah mereka yang paling dekat dengan yang Maha Satu, tidak kira mereka kaya, miskin atau apa jua latar belakang. Begitu juga dengan konsep satu Malaysia, satu Negara untuk semua rakyat, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, adalah bertepatan dengan semangat satu untuk semua sebagaimana yang dituntut oleh Islam.


Sejarah membuktikan bahawa dalam Islam (Negara Islam) adalah untuk semua. Kita lihat orang bukan Islam boleh hidup senang lenang dalam sebuah Negara Islam, tanpa gangguan, hatta kekayaan mereka mengatasi penduduk Islam, seperti di Malaysia. Islam berpegang kepada konsep satu untuk semua. Malaysia untuk semua bangsa yang ada. Sesiapa sahaja yang berusaha lebih, maka mereka berhak mendapat ke atas apa yang diusahakan. Begitulah indahnya konsep kesatuan Islam. Malangnya, belum tentu orang Islam boleh hidup tenang dan senang-lenang dalam sebuah Negara bukan Islam. Lihat sahaja contoh minoriti Islam di Selatan Thailand, Filipina, Singapura (dahulunya negeri Islam) dan sebagainya. Rata-rata minoriti Islam di Negara bukan Islam, mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Umat Islam tidak hanya didiskriminasikan, malahan ada yang ditindas, dianiayai dan tidak kurang yang dibunuh dengan kejam seperti minoriti Islam di bumi Palestin. Merempat di bumi sendiri. Orang yang mendatang, Yahudi Zionis bertindak kejam dan ganas. Yahudi Zionis bermaharajalela lela di bumi umat Islam. Maka, tidak hairan jika Yahudi berpegang kepada prinsip mereka adalah umat terpilih atau the chosen people. Satu hanya untuk satu, bukan satu untuk semua. Namun, disebabkan oleh mereka bersatu, umat Islam yang ramai yang berpegang kepada yang satu, telah dapat dikalahkan oleh Yahudi Zionis disebabkan oleh kesatuan mereka. Dengan sebab itu, semua yang berpegang kepada yang satu mesti bersatu.


Justeru, satu untuk semua mesti direalisasikan dan diperkasakan dalam usaha menjana kekuatan dan mencipta kegemilangan. Konsep satu Malaysia mendekati prinsip Islam sebagai agama benar nan satu. Seperti yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, konsep satu Malaysia telah terpakai sekian lama. Satu negara, Satu bahasa (bahasa Melayu bahasa rasmi), satu Sultan (Yang DiPertuan Agong), satu agama (Islam sebagai agama persekutuan), satu hak istimewa orang kepada orang Melayu dan bumiputera dan sebagainya.


Semuanya berasaskan kepada perlembagaan yang satu yang telah dipersetujui oleh semua kaum ketika itu melalui satu kontrak sosial. Pendek kata, satu Malaysia merujuk kepada sebuah Negara kepunyaan bersama tertakluk kepada perlembagaan persekutuan yang satu. Justeru, tidak timbul soal, orang bukan Melayu didiskriminasikan melalui konsep satu Malaysia. Juga, tidak timbul isu, kontrak sosial itu tidak lagi relevan kerana hanya segelintir sahaja yang membuat keputusan ketika itu. Tidakkah kita terfikir bahawa keadilan kontrak sosial itu ada timbal baliknya, tidak hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.


Keterbukaan orang Melayu menerima kedatangan orang-orang bukan Melayu yang berhijrah, memperlihatkan bahawa konsep satu Malaysia telah terpahat di hati orang Melayu. Orang Melayu sanggup menerima satu bangsa satu Negara kepada satu Negara berbagai bangsa. Keterbukaan dan toleransi berlaku setelah persetujuan bersama dicapai. Konsep satu Malaysia (Tanah Melayu) telah wujud apabila orang bukan Melayu bersetuju menerima kontrak sosial secara bersama. Dengan sebab itu tidak hairan Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambhantan menerima seadanya kontrak sosial tersebut. Kedua pemimpin ini melahirkan rasa syukur terhadap orang Melayu yang telah menerima mereka setelah mereka tidak ditolak di Negara-negara lain yang dihijrahi seperti Thailand, Burma dan sebagainya.


Tidak lama selepas itu, Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia. Perlembagaan masih satu, cuma adalah beberapa tambahan khas untuk Sabah dan Sarawak. Konteks semangat kontrak sosial tetap tidak berubah, hak istimewa Melayu (bumiputera) dipanjangkan ke sana. Uniknya, di Sabah Sarawak adalah, walaupun kedua-dua negeri menyertai Malaysia setelah 6 tahun mencapai kemerdekaan, mereka adalah contoh satu Malaysia yang amat sesuai untuk diketengahkan dan dirujuk.


Seperti yang pernah dikatakan oleh YAB Perdana Menteri, kedua-dua negeri ini adalah contoh satu Malaysia. Walaupun masing-masing mempunyai lebih daripada 30 etnik, tetapi semangat kesatuan mereka amat mantap berbanding Semenanjung yang hanya mempunyai tiga etnik iaitu Melayu (60 peratus), Cina (25 peratus), India (10 peratus) dan lain-lain 5 peratus, tetapi masih sukar untuk mencontohi Sabah dan Sarawak. Persoalannya, kenapa? Jawapannya, di Sabah dan Sarawak, konsep satu Malaysia telah terpakai sekian lama, sejak mereka menyertai Malaysia. Penggunaan satu bahasa, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan begitu meluas. Justeru, tidak hairan penduduk Sabah dan Sarawak begitu fasih berbahasa Melayu. Bahasa telah menyatukan mereka. Bila pergi ke sana, kita agak sukar untuk membezakan mereka adalah iban, dayak, murut atau kazadan, kerana semua boleh berbahasa Melayu dengan baik.


Keadaan sebaliknya berlaku di Semenanjung. Walaupun kita hanya boleh berbangga dengan Tan Siew Sin dan Sambhantan yang memahami sejarah. Mereka fasih berbahasa Melayu. Bahasa Melayu telah berperanan besar menyatukan pelbagai bangsa ketika itu. Namun, keadaan sudah berbeza hari ini. Semakin ramai yang berfikiran seperti Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang yang mahukan Malaysian Malaysia dilaksanakan. Pada mereka, satu Malaysia adalah sama rata-sama rasa. Tidak ada hak istimewa orang Melayu, bahasa lain (Cina) hendaklah setaraf dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sekolah jenis kebangsaan mesti setara dengan sekolah kebangsaan, atas kata kunci fair and square. Mujurlah MCA, Gerakan dan MIC dapat sedikit memahami keadaan. Itupun terlalu sukar bagi UMNO untuk membuat mereka faham kerana mereka tidak dapat melihat atau sengaja pejamkan mata untuk melihat ‘diskriminasi’ tersebut dalam bentuk yang positif.


Dengan sebab itu, hari ini apabila bercakap soal satu Malaysia, bukan melayu tidak melihat kepada satu Malaysia yang bersandarkan kepada perlembagaan, mereka hanya mahukan satu Malaysia melaksanakan dasar fair and square. Tidak ada DEB, tidak ada hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Persoalannya, kenapakah mereka langsung tidak bersuara soal, perlunya satu sekolah, satu bahasa dalam soal pembinaan Negara bangsa? Kenapa bila YAB Perdana Menteri sebut sahaja satu Malaysia, maka secara spontan mereka melatah bahawa satu Malaysia adalah sama rata dan sama rasa, apa jua yang berpihak kepada Melayu dan Islam mesti dihapuskan? Kenapa kita bincangkan tentang perlunya satu bahasa Melayu diperkasakan di sekolah jenis kebangsaan? Semua ini berlaku kerana sifat ultra kiasu atau sentiasa mahu menang telah lama terpahat dalam pemikiran mereka. Apa jua perkara dilihat tidak menguntungkan mereka, maka akan ditentang habis-habisan.


Saya rasa pelik, bila ada polisi kerajaan pusat yang menguntungkan maka akan disokong habis-habisan. Begitu juga bila ada polisi yang tidak menguntungkan akan ditentang habis-habisan. Bermakna, politik perkauman masih tebal. Kita hanya meletakkan kepentingan bangsa di hadapan berbanding kepentingan nasional. Misalnya, isu siaran berita dalam bahasa Mandarin di RTM yang telah diubah daripada jam 8.00 malam kepada waktu yang lain. Sebelum inipun siaran berita bukan Melayu, bukan pada jam 8.00 malam, kemudian di ubah kepada jam 8.00 malam. Bila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan baru dilantik, maka siaran berita mandarin diubah kepada asal, yakni bukan jam 8.00 malam. Kita dapati, serta merta MCA, Gerakan dan DAP melompat dengan mengatakan ia adalah satu diskriminasi dan tidak adil. Persoalannya, adakah tindakan ini satu yang wajar, bertepatan dengan konsep satu Malaysia yang mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi?


Begitu juga dalam isu kemasukan Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Au Kam Wah, bekas pemimpin SAPP, ke dalam parti Gerakan. Secara cepat, Presiden Gerakan terus mengambil keputusan mencadangkan agar Datuk Raymond Tan dilantik sebagai Naib Presiden Gerakan, sebagai mewakili kepentingan masyarakat Cina di Sabah. Gerakan selama ini mengatakan bahawa mereka adalah parti untuk semua kaum. Tetapi tidak bertindak sedemikian apabila berkaitan kepentingan kaum Cina. Bermakna, Gerakan masih lagi parti chauvinis Cina bukannya untuk semua kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan mereka. Cuba presiden Gerakan kira berapa banyak parti politik di Sabah yang telah mewakili masyarakat Cina? Sepatut Gerakan perlu berkata bahawa perlantikan Datuk Raymond adalah untuk mewakili masyarakat Sabah secara keseluruhan. Inilah bentuk pemikiran satu Malaysia, dan bukannya terkongkong dalam kotak etnik sahaja. Saya tidak nafikan ada kumpulan tertentu dari kalangan orang Melayu juga berfikiran sedemikian.


Kita perlu memandang jauh ke hadapan bila bercakap soal pembinaan Negara bangsa berasaskan kepada konsep satu Malaysia. Kepentingan etnik hendaklah diketepikan apabila berhadapan dengan kepentingan nasional. Apakah kepentingan nasional? Kepentingan nasional adalah perlembagaan yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum. Maka, rujuklah perlembagaan itu sebagai titik tolak perbincangan. Apakah yang mewarnai perlembagaan itu yang boleh dikongsi pada peringkat nasional? Sudah tentu dalam semangat satu Malaysia adalah isu-isu yang satu iaitu satu ketua Negara, Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai payung Negara, agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, hak-hak istimewa agama Islam orang Melayu dan bumiputera, sekolah kebangsaan untuk semua dan sebagainya.


Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapakah saya membangkitkan isu ini? Inilah adalah perkara yang selalu dipertikaikan dan menimbulkan konflik. Orang bukan Melayu tidak pernah berpuas hati dengan perkara yang telah dibangkitkan itu. Mereka mahukan kesamarataan dan kesaksamaan. Pada hemat saya, jika perkara inilah yang terus dibangkitkan, tanpa melihat kepada nilai-nilai positif yang terkandung, sampai bila-bila pun sukar untuk kita melihat satu Malaysia menjadi realiti. Justeru, sudah sampai masanya kita melihat keadilan itu daripada kacamata Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan sama rasa dan sama rasa. Di sinilah saya kira, indah Islam yang membawa mesej satu agama untuk semua manusia di seluruh dunia berpandu kepada Quran dan Sunnah. Satu Malaysia untuk semua, berpandu kepada perlembagaan persekutuan.

No comments:

Post a Comment