Wednesday, October 7, 2009

Rasuah Lebih Haram Dari Babi

Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah, Utusan Malaysia 22 Dis 2008

Rasuah atau politik wang telah diketahui umum sebagai isu yang amat kontroversi melanda UMNO hari ini. Ingatan demi ingatan telah diberikan oleh Presiden UMNO (Perdana Menteri), Timbalan Presiden (Timbalan Perdana Menteri) dan tidak ketinggalan bekas Presiden UMNO (Perdana Menteri), Tun Dr. Mahathir Mohamed. Pendek kata, semua orang memperkatakan akan bahaya hina dan jijiknya rasuah, tidak ketinggalan parti-parti politik pembangkang.


Terbaru, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di parlimen. Ianya sedang hangat dibahaskan. Walaupun ada segelintir yang sinis, azam kepemimpinan negara untuk membenteras rasuah hendaklah dipandang serius. Rasuah adalah isu bersama, tidak kira siapa kita dan latar belakang politik.


Syed Hussein Alatas (1995) merujuk rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Ciri-ciri rasuah digalurkan seperti suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan,

(i) penipuan terhadap badan pemerintahan, lembaga swasta atau masyarakat umumnya,
(ii) dengan sengaja melalaikan kepentingan kepentingan umum untuk kepentingan khusus,
(iii) dilakukan dengan rahsia, kecuali dalam keadaan di mana orang-orang yang berkuasa atau bawahannya menganggapnya tidak perlu,
(iv) melibatkan lebih dari satu orang atau pihak,
(v) adanya kewajipan dan keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau yang lain,
(vi) terpusatnya kegiatan (rasuah) pada mereka yang mengkehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya,
(vii) adanya usaha untuk menutup perbuatan rasuah dalam bentuk-bentuk pengesahan hukum, dan
(viii) menunjukkan fungsi ganda yang kontradiktif pada mereka yang melakukan rasuah.


Rasuah dikatakan bermula apabila parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin politik yang memerintah melibatkan diri dalam perniagaan. Kajian demi kajian dan penemuan demi penemuan telah banyak dilakukan mengenai punca-punca rasuah dan cara mengatasinya. Namun, ia agak sukar untuk dibenteras selagi mana parti-parti politik melibatkan diri dalam perniagaan. Jamaie Hamil (2004) membuat kajian menarik berkaitan penglibatan UMNO secara aktif dalam perniagaan telah menyebabkan berlakunya rasuah.


Selepas DEB dilancarkan, orang Melayu dikatakan tidak hanya dibiarkan menguasai politik semata-mata tetapi mereka juga perlu menguasai ekonomi yang selama ini hanya dikuasai oleh orang Cina. Penglibatan UMNO dalam perniagaan semakin aktif ketika era Mahathir sehinggalah ke hari ini. UMNO telah membentuk syarikat korporat dan mengakibatkan kepentingan politik dan ekonomi dimanipulasikan. Maka wujud orang Melayu yang dibantu UMNO menjadi jutawan dan ahli korporat yang berjaya. Mereka terus bergantung kepada elit politik UMNO untuk memastikan kemandirian perniagaan mereka terjamin. Sementara elit politik pula bergantung kepada elit ekonomi untuk mengukuhkan kekuasaan. Persepsi orang Melayu adalah untuk mengumpul kekayaan, jalan pintasnya adalah dengan menjadi ahli politik.
Akibatnya, kekayaan negara diagihkan kepada kelompok tertentu dengan alasan menjaga kepentingan Melayu. Amalan kronisme, nepotisme dan politik wang berlanjutan sehingga menjadi budaya politik.


Tema yang sama turut dibincangkan oleh Gomez (1994) dalam penyelidikannya mengenai penglibatan parti-parti politik komponen BN dalam perniagaan iaitu UMNO, MCA dan MIC. Penglibatan parti-parti politik ini telah menimbulkan banyak masalah kerana mereka mempunyai kepentingan dalam kerajaan. Pelbagai syarikat yang dipunyai oleh UMNO, MCA dan MIC disenaraikan dengan jelas dan penuh bukti akan kepentingan mereka dalam kerajaan. Boleh dikatakan semua tender kerajaan dibolot oleh syarikat-syarikat ini yang ada kepentingan dalam kerajaan BN. Hasilnya, berlaku perkara-perkara yang seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.


Perkara yang sama pernah dinyatakan oleh Malek Merican, seorang pakar ekonomi yang mahukan penstrukturan semula DEB dilakukan. Rasuah dikatakan semakin berleluasa selepas diwujudkan DEB.

... bahawa banyak tender, pemberian, lesen dan kelulusan peruntukan syer dibuat atas hubungan, bukan berasaskan bida yang terendah, yang paling cekap atau sesuatu asas berkakitan merit yang lain. Mereka bimbang yang Bumiputera dan bukan Bumiputera sedang mula percaya bahawa mereka patut bercita-cita menjadi broker kuasa dan mempengaruhi penjaja-penjaja daripada beriltizam untuk menjadi pengurus, pengeluar dan pengilang yang paling cekap... (Faaland et al, 2005: 199)

DEB yang sepatutnya membantu orang Melayu dan bumiputera tidak mencapai matlamat yang diharapkan, malahan menjadikan orang Melayu leka dan terjerumus ke lembah rasuah yang hina.


Penyelidikan Chin Yee Whah (2005) berkait rapat dengan apa yang dikatakan oleh Malek Merican. Beliau mengkaji sejarah keterlibatan orang Cina dalam bidang perniagaan, pembentukan nilai dan amalan budaya niaga, modenisasi perniagaan dan tranformasi yang berlaku. Apa yang menarik perhatian ialah mengenai kecenderungan usahawan Cina dikatakan terpaksa mengambil usahawan Melayu sebagai rakan niaga bagi mendapatkan projek kerajaan dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka.


Sementara usahawan Melayu pula mempunyai persepsi bahawa usahawan Cina boleh menyediakan modal, kepakaran, kemahiran dan pengalaman untuk menjayakan perniagaan dan projek yang diterima. Lebih menyedihkan lagi, rakan niaga Melayu yang dipilih lebih rela diperalatkan atau dijadikan sebagai boneka yang mana mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan melainkan menerima elaun setiap bulan.


Menyedari akan jijiknya amalan rasuah, kerajaan BN telah menggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) dan membuat keputusan untuk menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 5 November 2003 (Kerajaan Malaysia, 2006). Penggubalan PIN dan penubuhan IIM adalah lanjutan hasil daripada kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik tempatan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai persepsi awam terhadap rasuah di Malaysia. Nyata sekali bahawa amalan rasuah begitu berleluasa dan amat membimbangkan. Hasil Kajian yang dilakukan oleh IIM juga tidak menampakkan perubahan yang ketara dalam amalan rasuah ini jika dibandingkan dengan Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perceptions Index (CPI).


Menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2007 yang dicatatkan pada tahap 6.76 peratus merupakan satu tahap yang agak membimbangkan. Sebanyak 52.5 peratus responden yang terlibat dalam kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 juga menyatakan bahawa rasuah dalam sektor politik adalah tidak terkawal.


Seperti CPI, indeks rasuah dinilai daripada tahap 10 bagi prestasi paling cemerlang dan tahap satu bagi prestasi paling lemah. Kajian IIM melibatkan 14,967 responden dengan 67 peratus atau 10,023 adalah isi rumah, 26.9 peratus atau 4,031 adalah penjawat awam dan 913 atau 6.1 peratus adalah pertubuhan ekonomi. Sejumlah 53.9 peratus responden juga mengatakan tahap amalan rasuah dalam negara adalah tinggi. Hanya 58.2 peratus daripada keseluruhan responden pula mengatakan langkah-langkah pencegahan rasuah adalah berkesan.


Kajian IIM dan CPI tidak banyak bezanya. Menurut CPI, Malaysia berada pada tangga 47 (daripada 180 negara) pada tahun 2008. Maklumat lanjut untuk tahun sebelumnya adalah seperti jadual berikut:


Kedudukan CPI Malaysia 2001-2008


Tahun .....Tangga........ Skor CPI....... Jumlah Negara

2001............36............... 5.0......................91
2002 ...........33............... 4.9.................... 102
2003 ...........37............... 5.2.....................133
2004........... 39............... 5.0.....................146
2005........... 39............... 5.1.....................159
2006 ...........44............... 5.0.....................163
2007 ...........43................5.1.....................179
2008 ...........47............... 5.1.....................180

Sumber: Transparency International


Ringkasnya, dari tahun 2001-2008, kita masih berligar pada skor 4.9 - 5.1, pada tangga antara 36 hingga 47. Ini bermakna, semakin banyak negara yang menyertai kajian ini, kedudukan kita semakin jatuh. Negara-negara yang dikatakan bebas rasuah 2008 ialah Finland, Iceland, Denmark, Sweden dan Singapura, berada dalam lingkungan (9.2 – 9.7). Negara yang paling teruk adalah Somalia (1.0), Iraq (1.3) dan Haiti (1.4).


Jika bandingkan CPI Malaysia dengan negara-negara ASEAN, Malaysia mencatatkan kedudukan yang agak baik (5.1) iaitu ditangga kedua selepas Singapura (9.2), diikuti Thailand (3.5), Vietnam (2.7), Indonesia (2.6), Filipina (2.3), Laos (2.0), Kemboja (1.8) dan Nyanmar (1.3).


Menurut Azmi Kamaruddin, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, perang melawan rasuah adalah peperangan rakyat, bukannya institusi kerajaan atau parlimen atau badan kehakiman. Kita mesti sedar bahawa rasuah ibarat barah yang boleh membunuh ekonomi dan politik negara. Rasuah boleh membunuh parti-parti politik. Rasuah boleh menyebabkan krisis politik apabila pihak yang tidak mahu melihat lebih banyak kerosakan berlaku mula merampas kuasa. Beliau menambah, amalan rasuah tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana lebih daripada 50 peratus penduduk negara ini ialah orang Islam. Tetapi masalahnya kebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan rasuah itu merupakan orang beragama Islam. Makan rasuah itu haram, ibaratnya seperti makan babi tetapi masih banyak orang Melayu yang menerima rasuah.

Saya amat bersetuju dengan pandangan ini, sebenarnya implikasi (haram) rasuah lebih besar daripada implikasi haramnya babi. Ramai kalangan kita yang tidak menyedarinya. Jika kita berjaya menanamkan pemikiran umat Islam betapa jijik (haramnya) babi, sehingga mendengar nama babi itu sudah memualkan, saya fikir kita boleh melakukan perkara yang sama dengan meletakkan perbuatan mengambil (makan) rasuah itu lebih haram (hina) daripada memakan daging babi.


Hari ini kita gagal meletakkan haramnya rasuah, sekurang-kurangnya berada pada tahap sama haramnya babi. Kita begitu jijik dengan babi, usahkan hendak memakan, malah mendekatinya sudah menakutkan, apatah lagi untuk memegang najis itu sesuka hati. Keberjayaan kita memomokkan haramnya babi ini, menyebabkan kita masih beranggapan bahawa memakan rasuah tidak seteruk seperti makan babi. Pada persepsi kita, haramnya babi lebih mudarat daripada haramnya rasuah. Asalkan babi tidak masuk perut, maka halallah kehidupan di muka bumi ini.


Pemikiran sebegini hendak diubah. Selain daripada haramnya babi, sesuatu yang haram sumbernya, adalah juga haram dimakan, sama seperti haramnya makan babi. Malah makan rasuah lebih besar mudaratnya daripada makan babi. Ini bukanlah bermakna, saya hendak meringankan haramnya najis babi.


Apa yang saya ingin jelaskan adalah sumber yang haram masuk ke perut menjadi darah darah daging kita dan anak-anak kita. Justeru, tidak hairan jika ramai yang mengadu kepada saya, kenapa anak-anak mereka telah dididik dengan baik, mendapat pendidikan agama yang cukup, tetapi masih berkelakuan tidak seperti manusia. Inilah yang yang cuba saya ketengahkan bahawa walaupun kita tidak suapkan anak kita dengan daging babi, pendapatan haram daripada sumber haram (rasuah) adalah sama seperti kita menyuapkan daging babi ke mulut anak kita. Bila sumber yang masuk ke perut haram, maka terbitlah tingkah yang haram juga.


Rasuah ibarat barah yang akan menghancurkan agama, bangsa dan negara. Apatah lagi rasuah dalam parti-parti politik dan jabatan kerajaan yang seringkali menjadi sebutan dan bahan bualan. UMNO dikatakan sebuah parti yang mengamalkan rasuah dalam proses pemilihan kepemimpinan UMNO pada Mac 2009. Justeru, UMNO dan pemimpin UMNO mesti membebaskan diri mereka dari rasuah. Rasuah mesti dibenteraskan hingga akar umbi bagi mempositifkan imej UMNO. Tindakan yang tegas hendaklah dikenakan terhadap mereka yang terlibat, tanpa mengira siapa diri mereka dan apa latar belakangnya. Tidak ada kompromi atau pilih kasih dalam usaha membenteras rasuah.


Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri, perlu disambut dengan baik. SPRM perlu menjadi sebuah badan bebas yang mempunyai autoriti untuk bertindak, mengikut bidang kuasa, tanpa memilih bulu atau dipengaruhi oleh sesiapapun. Input-input yang sedang dibahaskan di parlimen hendaklah dipandang serius.


SPRM mesti memastikan projek-projek kerajaan mesti diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak secara telus dan terbuka. Pemimpin-pemimpin mesti disedarkan bahawa kuasa yang diperolehi mesti digunakan untuk menjaga kepentingan rakyat, bukannya tiket untuk memperkayakan diri atau parti.


Di samping itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) mesti memperbanyakkan kajian mengenai bahayanya rasuah agar masyarakat merasa jijik melakukan perbuatan tersebut. Rasuah mesti dilihat sebagai satu amalan haram, amat keji dan berdosa besar, yang boleh menghancurkan agama, bangsa dan negara. IIM hendaklah menumpukan kajian khusus mengenai rasuah dalam part-parti politik dan kroni-kroninya. Cadangan-cadangan yang berani hendaklah dimajukan tanpa rasa takut.


Perlu ditegaskan, agama Islam awal-awal lagi telah memberikan amaran Al-Mawardi mengingatkan ahli politik ini dengan membawa sepotong hadis yang bermaksud: Apabila pemimpin berniaga maka binasalah rakyat. Kenyataan ini seterusnya disokong oleh Ibnu Khaldun dengan mengukuhkan syarat itu, apabila seorang menteri melibatkan diri dalam perniagaan, ia mungkin cuai dalam menjalankan tugasnya dan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan adalah tidak mustahil. Ia juga akan menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak serata turut berlaku apabila hanya segelintir sahaja yang membolotnya.


Kenyataan ini memang jelas akan kebenaran. Perniagaan melibatkan perkiraan untung rugi. Ini memerlukan kepada penumpuan masa yang banyak untuk menguruskannya. Kerugian kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan. Kalau begitulah keadaannya, di manakah tanggungjawab mereka terhadap rakyat?


Tun Dr. Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia amat kritis dalam menangani isu rasuah. Bagi beliau, rasuah adalah suatu gejala yang jahat, tetapi dia juga faham, bagi rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, memasuki perkhidmatan kerajaan adalah “satu cara paling mudah untuk membuat duit; dan mereka pun cukup tahu antara mereka nanti ada yang akan ditendang keluar dalam pilihan raya setiap lima tahun, jadi mereka terima rasuah dan menjadi korup”. Beliau pernah berkata kepada Kuok Hock Khee, sahabat seangkatannya:
Alangkah bagusnya kalau rakyat kita satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik, seperti ahli politik Britian [...] Pesan saya kepada kaum pemuda kita [...],jangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan (Ooi Kee Beng, 2007: 171)


Perlu diingatkan juga bahawa gejala rasuah ini telah lama menular dalam sektor swasta. Misalnya, dalam sektor perbankan. Pegawai kredit yang mengendalikan perjanjian jual beli hartanah dan rumah (S&P), tidak lagi segan silu meminta habuan daripada peguam-peguam yang mendapatkan fail yang diberikan. Pegawai kredit ini dengan berani meminta sehingga 50 peratus keuntungan peguam. Bayangkan jika seorang pegawai kredit bank mendapat sekurang-kurangnya RM2000 dalam setiap S&P, bermakna jika dia mempunyai 10 S&P, wang haram rasuah yang diperolehi paling minima sebulan adalah RM20,000. Persoalannya, adakah wang ini halal dan bukan rasuah? Pada hemat saya, mengambil atau memakan wang rasuah ini lebih haram daripada makan babi.


Justeru, marilah kita berkempen dan menanamkan dalam pemikiran masyarakat kita akan haramnya rasuah lebih hina daripada haramnya babi. Langkah pertama, haramkan wakil rakyat yang memegang jawatan di peringkat kementerian-kementerian tertentu termasuk menteri-menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik, melibatkan diri dalam perniagaan. Ini penting ke arah membersihkan lagi imej pentadbiran dan pengurusan politik negara yang selalu dilabelkan oleh pihak tertentu dengan ungkapan seperti kerajaan rasuah, kerajaan menyeleweng dan sebagainya. Pada masa yang sama gaji, elaun mereka hendaklah dinaikkan pada tahap maksima seperti yang telah dilakukan oleh negara-negara maju bagi membendung rasuah gejala haram ini.

1 comment:

  1. salam.
    tahniah atas kajian dan penulisan akademik tuan. harapnya semua pihak boleh ambil iktibar dan tindakan sebaiknya. semoga Islam terus subur di bumi Malaysia.

    ReplyDelete